Sebagai bangsa bermaruah jangan jadikan rasuah sebagai budaya
BANGI – Rasuah dan pengkhianatan boleh melemahkan sesebuah kerajaan serta meruntuhkan ketamadunan bangsa.
Perkara ini jelas dibuktikan melalui sejarah kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka ke tangan Portugis pada tahun 1511.
Tokoh Warisan Kebangsaan, Datuk Aripin Said berkata, amalan rasuah bahaya bukan sahaja kepada sistem pentadbiran sesebuah negara, malah ia juga meletakkan maruah sesuatu bangsa ke tahap lebih hina.
Justeru, beliau berkata, rakyat perlu mengambil pengajaran mengenai bahaya rasuah kepada kerajaan dan sistem sosial negara secara keseluruhannya.
Katanya, gejala berkenaan perlu ditangani habis-habisan di negara ini bagi mengelakkan sejarah kejatuhan kerajaan Kesultanan Melayu Melaka berulang.
“Bangsa Malaysia adalah bangsa yang bermaruah, ada jati diri, beragama dan berbudaya, justeru jangan gadaikan nilai-nilai itu dengan menjadikan rasuah sebagai budaya demi kepentingan diri dan kelompok tertentu.
“Kita kena pegang nilai itu sebagai cara hidup dan menolak segala unsur negatif demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Mengulas mengenai perkara sama, Aripin berkata, amalan rasuah boleh berlaku di semua peringkat sosial masyarakat termasuk dalam kalangan pemimpin dan rakyat awam baik sebagai pemberi atau penerima.
“Perkara ini memang berlaku dan tidak boleh dinafikan lagi, justeru ia perlu ditangani melalui undang-undang dan pada masa sama, kesedaran kepada bahaya menerima dan memberi rasuah ini perlu dipupuk dalam kalangan masyarakat.
“Sebagai Melayu Islam, kita semua tahu, rasuah dilarang dalam agama bahkan dari segi undang-undang juga jelas perbuatan itu satu kesalahan serius jadi persoalannya kenapa masih ada yang terjebak?
“Jawapannya tidak lain tidak bukan kerana tamak dan ada kepentingan peribadi namun akhirnya dalam sesetengah keadaan budaya itu menjerat diri mereka,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan