Isnin, 1 Februari 2021

Ibu negara ada 30,000 keluarga miskin

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, berkata jumlah itu dikenal pasti berada dalam 178 lokaliti sekitar Kuala Lumpur terutama membabitkan penghuni projek perumahan rakyat (PPR).

"Di bandar (Kuala Lumpur), golongan ini tidak dapat memenuhi keperluan yang asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal.

"Maka, pendapatan sekitar bawah RM2,200, kita anggap keluarga itu perlu mendapatkan bantuan sewajarnya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengumumkan senarai 335 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2021 di Sri Pentas, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Rosida Jaafar dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah.

Annuar bagaimanapun menjelaskan, pihaknya tidak dapat memberikan jumlah yang tepat ketua isi rumah tergolong di bawah garis kemiskinan kerana perbezaan angka antara agensi berkaitan.

"Ada pelbagai agensi yang melihat perkara ini seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

"Kita akan cuba selaras sebab ada lain-lain jumlah, contohnya JAWI mempunyai 23,000 sasaran ketua keluarga, kita pun ada rekod lebih kurang sama manakala JKM mempunyai jumlah kira-kira 13,000.

"Bagaimanapun, anggaran kita antaranya berdasarkan jumlah ketua isi rumah membabitkan 63,000 unit PPR di sekitar ibu negara yang mana separuhnya daripadanya tergolong di bawah garis kemiskinan," katanya.

Mengulas mengenai program MyBeras@Wilayah yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi, Annuar berkata, ia adalah sub program kepada MyFood untuk golongan miskin bandar atau mereka yang hilang mata pencarian ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

Tan Sri Annuar MusaTan Sri Annuar Musa

"Kita menyasar untuk mengagihkan lebih 5,000 kampit beras seminggu dengan sasaran antara 20,000 ke 30,000 kampit sebulan.

"Mereka yang ingin menyumbang kepada program ini, boleh berbuat demikian dengan memberi sumbangan menerusi portal MyInfaq.

"Malah saya sendiri akan menghubungi rakan-rakan swasta untuk bersama menjayakan program ini. Orang ramai juga boleh menyumbang sekurang-kurangnya RM10 menerusi portal terbabit," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, agihan beras dilakukan secara sistematik kepada golongan sasar di setiap zon supaya tiada insiden pelanggaran prosedur operasi tetap (SOP) PKP.

Muhyiddin dalam perutusan khas sempena Hari Wilayah malam tadi berkata, Kementerian Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Yayasan Wilayah Persekutuan dan Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan mengagihkan beras kepada golongan memerlukan bermula semalam menerusi Program MyBeras@Wilayah.

Tiada ulasan: