Rabu, 10 Februari 2021

Guna pelbagai kaedah untuk daftar suntikan vaksin COVID-19

Siti Fatimah

Perlu babitkan pelbagai agensi supaya tiada rakyat yang tercicir

KUALA LUMPUR– Pendaftaran suntikan vaksin COVID-19 yang dijangka dibuka tidak lama lagi untuk orang ramai perlulah mengguna pakai pelbagai platform mudah dan mesra rakyat supaya boleh dicapai oleh semua peringkat masyarakat bagi memastikan tiada yang tercicir dalam pengambilan vaksin itu.

Selain daripada MySejahtera seperti yang dicadangkan ramai pihak, pelbagai cara dan kaedah lain juga perlu dipertimbangkan terutamanya kepada mereka yang tidak mempunyai akses kepada aplikasi itu, demikian menurut pakar-pakar perubatan.

Bagi Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar, ini termasuklah cara lazim iaitu mengisi borang secara manual bagi mereka yang tinggal di kawasan pedalaman dan tidak mempunyai akses kepada Internet.

Sebenarnya tidak sukar untuk menyampaikan maklumat mengenai vaksin kepada mereka yang tinggal di kawasan pedalaman memandangkan adanya klinik-klinik kesihatan kerajaan dan klinik ‘mobile’ atau bergerak yang boleh menjadi penghubung dengan penduduk di situ.

“Kempen perlu dijalankan bagi memastikan penduduk tahu dan peka mengenai segala proses pendaftaran suntikan vaksin sebagai contoh, jawatankuasa kampung atau surau di kawasan pedalaman atau luar bandar boleh membantu perhebatkan kempen-kempen seperti pemberian borang.

“Klinik-klinik kesihatan kerajaan terutamanya di luar bandar juga boleh memainkan peranan dengan menghubungi pesakit mereka dan memberikan borang memandangkan mereka mempunyai senarai pesakit yang merupakan anggota komuniti di kawasan mereka,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Berkongsi pandangan yang sama, Pakar Perubatan Kesihatan Awam Jabatan Mikrobiologi Perubatan, Falkulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Malina Osman berkata, berdasarkan pengalaman beliau bertugas di klinik kesihatan, klinik itu atau klinik desa boleh dijadikan satu daripada cara untuk membuat pendaftaran penerima vaksin itu.

“Klinik desa boleh diberikan tanggungjawab untuk mengenal pasti individu-individu yang berkenaan bagi tujuan pendaftaran.

“Dengan kaedah ini, kerajaan dapat memudahkan mereka yang tidak mempunyai akses Internet yang baik di tempat tinggal mereka dan juga membantu individu yang tidak mempunyai kemahiran dalam pendaftaran secara dalam talian,” jelasnya.

Beliau berkata, selain menggunakan aplikasi dalam talian seperti MySejahtera, kerajaan juga disaran mewujudkan laman web khusus bagi memudahkan rakyat Malaysia mengakses proses pendaftaran itu.

“Saya secara umum berpendapat pendaftaran secara dalam talian itu memang sangat memudahkan…mengambil contoh kaedah bancian secara dalam talian, mungkin kerajaan boleh menggunakan kaedah yang sama,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Malina juga berpendapat bahawa kerajaan perlu mengambil kira penduduk di negara ini yang masih mempunyai masalah status kewarganegaraan bagi menerima vaksin itu.

Tiada ulasan: