PETALING JAYA: Peguam Negara (AG) mempunyai pilihan sama ada kembali ke mahkamah atau kepada koroner yang menyiasat kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim bagi menyelesaikan kes itu, kata kumpulan hak asasi.
Pengerusi Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan (Edict) M Visvanathan berkata, AG, yang juga pendakwa raya, boleh memfailkan semakan di Mahkamah Tinggi berhubung dapatan koroner Rofiah Mohamad pada Sept 2019.
Visvanathan, yang juga seorang peguam, berkata, AG juga boleh kembali kepada koroner yang sama dan memohon untuk membuka semula inkues berdasarkan siasatan polis seterusnya.
“Bagi kedua-dua alternatif tersebut, AG tidak terikat dengan sebarang had tempoh. Dapatan koroner tidak pernah ditutup kepada siasatan.
“Ia bukan perbicaraan jenayah yang menghendaki pihak yang terkesan membuat rayuan dalam jangka waktu tertentu untuk mengetepikan keputusan mahkamah,” katanya kepada FMT.
Visvanathan berkata, pilihan lain ialah dengan mendakwa mereka yang berkumpul di tempat kejadian atas kesalahan di bawah Kanun Keseksaan, seperti menyebabkan rusuhan.
Beliau memberi respons kepada Pemuda Umno yang mempersoalkan mengapa kerajaan berdiam diri berhubung siasatan polis ke atas sebab kematian Adib pada akhir 2018.
Ketuanya Asyraf Wajdi Dusuki, berkata, tindakan sewajarnya perlu diambil agar keluarga Adib tidak dibiarkan dalam “kegelapan”.
Peguam SN Nair berkata, bekas peguam negara, Tommy Thomas sepatutnya membuat permohonan semakan di Mahkamah Tinggi berikutan dapatan Rofiah bagi menyelesaikan kes terbabit.
“Sebaliknya, beliau memilih jalan keluar selamat dengan mengambil langkah tidak biasa, iaitu menyerahkan kembali perkara itu kepada polis.
“Ini adalah kes permainan bola sepak politik,” kata Nair, yang mewakili keluarga mangsa.
Thomas, dalam memoirnya berjudul “My Story: Justice in the Wilderness” berkata, beliau mendapati pdapatan Rofiah “membingungkan” sewaktu polis, dengan pengalaman, kepakaran, tenaga kerja dan sumber, tidak memperoleh kesimpulan sama.
Katanya, selepas siasatan pelbagai unit polis dan Pejabat Peguam Negara, tiada jenayah didapati berlaku.
Sebaliknya Adib dipercayai cedera apabila dilanggar jentera bomba yang mengundur ketika cuba memasuki kenderaan lain. Susulan itu, tiada pihak dipertanggungjawabkan.
Thomas berkata, beliau diminta pegawai bawahannya supaya pergi ke Mahkamah Tinggi, tetapi beliau mahu polis meneruskan siasatan mereka.
Pada Dis, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata, siasatan itu berada di peringkat akhir dan laporan tersebut akan diserahkan ke Pejabat Peguam Negara.
Pada Julai, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador mengulangi bahawa tiada saksi kejadian yang menyebabkan kematian anggota bomba itu yang boleh dipercayai ditemui.
Setelah siasatan selama 41 hari, Rofiah membuat keputusan bahawa “lebih daripada dua orang yang tidak dikenal pasti” membunuh Adib, yang meninggal dunia berikutan kecederaan parah yang dialamainya selepas diarahkan memadam kebakaran di luar kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya.
Rofiah berkata, kini ia terserah kepada polis dan peguam negara untuk membuat dakwaan.
Adib meninggal dunia di Institut Jantung Negara pada 17 Dis 2018.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan