Ahad, 7 Februari 2021

Dompet hilang 53 tahun lalu ditemui semula

BH ONLINE

 (Gambar fail - hiasan) Grisham kehilangan dompet ketika bertugas di Antartika dari Oktober 1967 hingga November 1968. - FOTO AFP (Gambar fail - hiasan) Grisham kehilangan dompet ketika bertugas di Antartika dari Oktober 1967 hingga November 1968. - FOTO AFP

WASHINGTON: Seorang ahli meteorologi yang pernah berkhidmat dalam Tentera Laut Amerika Syarikat (AS), menerima 'kejutan manis' apabila memperoleh semula dompetnya yang hilang 53 tahun lalu di Antartika.

Akhbar The San Diego Union-Tribune melaporkan, Paul Grisham, 91, sudah tidak mengingati perihal dompet itu ketika dihubungi pihak mahu mengeposkannya kepada beliau selepas ia dijumpai.

Dompet berkenaan ditemui ketika pelaksanaan kerja merobohkan pangkalan saintifik di Pulau Ross pada 2014 di mana Grisham bertugas di sana sebagai peramal cuaca dari Oktober 1967 hingga November 1968.

Dompet dijumpai tersorok di belakang sebuah loker itu antara lain mengandungi kad perakuan Tentera Laut milik Grisham, lesen memandu beliau, kad rujukan tindakan perlu diambil jika berlaku serangan senjata kimia atau biologi, serta kad catuan untuk bir.

Grisham berkata, beliau begitu terharu kerana pemulangan dompet itu membabitkan kerjasama ramai orang yang berusaha menjejakinya.

Terdahulu, ketua sebuah kumpulan penyelidikan di Antartika menghubungi seorang bekas pekerja yang pernah berjaya mengembalikan seutas gelang perakuan Tentera Laut - ditemui dijual di sebuah kedai - kepada pemiliknya.

Bersama-sama anak perempuan beliau, mereka merujuk sebuah yayasan untuk golongan veteran yang kemudian menghubungi Persatuan Perkhidmatan Cuaca Tentera Laut yang pernah disertai Grisham.

Akhirnya, dompet dalam keadaan masih elok itu selamat tiba di kediaman Grisham di San Carlos, utara California, baru-baru ini. - AFP

Tiada ulasan: