MALAYSIAKINI
Seorang penyampai radio digantung tugas selepas memuat naik video menggunakan aplikasi TikTok mempersenda cara sebutan bahasa Inggeris seorang guru wanita.
Pengurus Besar Astro Radio East Malaysia, Hafiz Nizamuddin, berkata pihaknya memandang serius kejadian yang berlaku selain memohon maaf atas perilaku "buruk" DJ terbabit.
“Kami memohon maaf atas sikap buruk seorang daripada penyampai radio kami berhubung video yang menjadi tular baru-baru ini.
“Kami akan melancarkan siasatan dalaman berhubung isu berbangkit.
"Pada masa sama, penyampai radio terbabit akan digantung tugas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, DJ Yusuf atau nama penuhnya Muhammad Yusuf Shukri membuat satu video sebagai respons kepada sebutan bahasa Inggeris guru wanita sambil memaparkan reaksinya ketawa berdekah-dekah.
Video tersebut mencetuskan kemarahan netizen dengan segelintir daripada mereka mendesak stesen radio Hitz Sarawak memecat segera DJ Yusuf.
Namun, segelintirnya pula meminta Yusuf tidak dipecat sebaliknya menggesa dia memohon maaf secara terbuka.
Yusuf, 29, bagaimanapun sebelum itu sudah menurunkan video berkenaan selepas teruk dikecam melalui Twitter dan platform lain media sosial.
Menurut Hafiz lagi, sebagai sebuah badan penyiar pihaknya komited untuk menyampai dan menghiburkan pendengar.
“Hitz komited untuk menghiburkan dan memberi maklumat kepada rakyat Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Yusuf meminta bantuan secara terbuka agar dia dapat dihubungkan dengan guru berkenaan untuk membolehkannya memohon maaf atas sikap yang dipamerkan.
“Perkara pertama adalah saya dengan seikhlas hati memohon maaf kerana mempersenda guru terbabit.
“Ia langsung tidak lucu dan saya tak boleh menjadikan ini sebagai alasan untuk membenarkan sesuatu sikap buruk.
“Ia satu sikap saya yang amat biadab dan untuk itu saya mahu memohon maaf secara peribadi kepada dia dan keluarganya.
“Saya juga ingin memohon maaf kepada semua guru-guru yang tersinggung selepas menonton video yang saya hasilkan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan