Sabtu, 13 Februari 2021

DidikTV KPM mula bersiaran 17 Februari

Oleh AMREE AHMAD

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan bakal memperkenalkan semula saluran khusus TV Pendidikan dan mula bersiaran 17 Februari ini dengan dikenali sebagai DidikTV KPM.

Saluran itu ke udara setiap hari dari pukul 7 pagi hingga 12 tengah malam dan dijadual dilancar secara rasmi oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada hari pertama bersiaran.

“Pewujudan saluran ini adalah usaha berterusan dalam meningkatkan akses pendidikan berkualiti bagi semua murid seluruh negara,” kata kenyataan kementerian itu di sini hari ini.

DidikTV KPM boleh ditonton secara percuma menerusi saluran 107 di platform MYTV atau siaran TV satelit berbayar Astro saluran 147 dan juga siaran kabel UnifiTV di saluran 107.

Kenyataan tersebut memaklumkan, bagi set jenis televisyen digital bersepadu atau IDTV yang menggunakan antena, carian saluran boleh dibuat melalui kaedah penalaan automatik.

Sebelum ini, kementerian berkenaan sejak tahun lalu pernah menyediakan program berjumlah 11 jam setiap hari menerusi saluran TV Okey RTM, Tutor TV Astro dan slot DidikTV NTV7.

“Program disiarkan saluran DidikTV KPM ini diterbitkan khusus berteraskan kurikulum dan kokurikulum malah pihak kementerian sentiasa komited melakukan yang terbaik,” katanya.

Kenyataan itu menjelaskan, ia juga menyiarkan berita mengenai dunia pendidikan semasa, program bercorak didik hibur serta pengisian kandungan yang dihasilkan oleh murid sendiri.

Di samping itu ujarnya lagi, program antarabangsa yang bersesuaian akan turut disiarkan bagi mengisi ruang slot tertentu sepanjang tempoh waktu siaran selama 17 jam sehari tersebut.

TV Pendidikan mula dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri yang kedua, Tun Abdul Razak Hussain pada 1972 dengan menumpang saluran TV1 dan TV2 RTM sehingga 1999.

Saluran itu kemudian disiarkan menerusi Astro sejak tahun 2000 hingga 2006 sebelum berpindah kepada stesen TV9 pula dan akhirnya ditamatkan langsung pada akhir 2008 lepas.

Mulai 2009, saluran ini digantikan dengan pewujudan laman sesawang rasmi EduwebTV milik kementerian yang turut merintis konsep Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Ia dihidupkan kembali dengan menumpang TV Okey, TV Tutor dan NTV7 pada tahun lalu susulan penutupan sekolah kerana Perintah Kawalan Pergerakan bagi kekang wabak Covid-19. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: