PELAKON yang popular dengan watak Detektif Lim dalam drama bersiri kepolisan, Gerak Khas iaitu Farid Amirul Hisham Wu Abdullah selamat diijabkabulkan dengan wanita pilihan hatinya, Norhayati Abdullah,39, semalam.
Pasangan itu dinikahkan di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Kuala Lumpur dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.
Berita gembira itu juga turut dikongsikan oleh rakan artis, Zulkifli Ismail dalam laman Facebooknya ketika menghadiri majlis pernikahan pelakon berusia 55 tahun itu.
“Tahniah dan selamat pengantin baharu kepada sahabat saya, pelakon Farid Amirul Hisham Wu Abdullah dan pasangannya, Nor Hayati Abdullah yang telah selamat diijabkabulkan.
“Majlis pernikahan telah dilangsungkan secara ringkas mengikut SOP yang ditetapkan di JAWI. Saya doakan semoga Farid dan isteri bahagia hingga ke akhir hayat,” katanya.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri turut menitipkan ucapan tahniah dan mendoakan pasangan itu dikurniakan cahaya mata yang soleh dan solehah.
“Selama penganting baharu diucapkan kepada ‘Detektif Lim’ daripada Gerak Khas! Kebetulan terserempak dengan beliau di selepas urusan di JAWI, Kuala Lumpur.
“Semoga Encik Farid Amirul Hisham Abdullah dan isteri berbahagia dan dikurniakan zuriat yang soleh dan solehah,” tulisnya.
Farid mula aktif dalam dunia lakonan sejak 1986 dan telah banyak membintangi drama termasuklah Gerak Khas yang sudah sebati dalam dirinya.
Malah, dia juga turut pernah berlakon dalam beberapa filem antaranya Panggilan Pulau, Gerak Khas The Movie, Evolusi KL Drift, Pasrah, Leftenan Adnan dan Bara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan