Pun begitu, Faizul tetap memastikan anak-anaknya tidak ketinggalan dalam pelajaran.
Pereka kandungan kreatif, Raja Faizul Raja Shahriman, 42, pada mulanya hanya merakam aktiviti anak-anaknya seperti berpantun, berteka-teki dan berseloka dalam loghat Negeri Sembilan dan memuat naik di akaun media sosial seperti YouTube secara suka-suka.
Bagaimanapun, selepas mendapat reaksi yang positif daripada orang ramai dan mendatangkan hasil lumayan, pemilik akaun “Kumika Kufaizul” mula serius dan menjadikan dua anaknya, Raja Muhammad Mikael, 6, dan Raja Farhana, 8, sebagai tunjang utama.
“Boleh dikatakan sumber pendapatan keluarga bergantung sepenuhnya kepada hasil YouTube dan media sosial. Saya selalu menjelaskan kepada anak-anak bahawa hasil pendapatan itu datang daripada apa yang mereka lakukan,” kata Faizul kepada MalaysiaNow.
Kini akaun Kumika Kufaizul memiliki 46.3 ribu pengikut dan 3.77 juta tontonan di YouTube.
Jumlah pendapatan ini diperoleh hasil daripada jumlah langganan saluran, tontonan kandungan yang dimuat naik dan tontonan iklan.
Pada tahun 2020, statistik pendapatan YouTuber menunjukkan kanak-kanak kacukan Rusia-Amerika berusia tujuh tahun yang dikenali sebagai Like Nastya, mampu menjana pendapatan sebanyak RM31.4 juta sebulan.
Memiliki langganan sebanyak 68.7 juta dengan 51 juta tontonan, Nastya atau nama sebenarnya Anastasia Radzinskaya menjadi antara YouTuber kanak-kanak yang memiliki pendapatan paling tinggi.
Keyakinan kanak-kanak bertambah
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia Hilwa Abdullah berkata kecenderungan kanak-kanak untuk menjadi YouTuber berlaku disebabkan pemerhatian dan maklum balas yang diterima daripada persekitarannya.
“Menjadi seorang YouTuber itu tidak salah kerana ia juga memerlukan kemahiran dalam menarik perhatian penonton. Bagaimanapun setiap tindakan itu ada baik dan buruk,” katanya yang juga merupakan ahli psikologi kepada MalaysiaNow.
“Ibu bapa memainkan peranan penting dalam membimbing kanak-kanak terutama ketika usia yang masih kecil,” katanya dan menambah kerjaya sebagai YouTuber dapat membentuk keyakinan kanak-kanak tetapi tetap perlu dipantau oleh ibu bapa.
Beliau bagaimanapun berkata, pendidikan masih perlu diutamakan kerana populariti tidak kekal selama-lamanya.
Faizul bersetuju dengan pandangan Hilwa dan berkata dia tetap memastikan anak-anaknya tidak ketinggalan dalam pelajaran.
“Pendidikan adalah perkara utama dan saya memandang serius mengenai perkara itu.
“Walaupun mereka YouTuber tetapi saya mendidik anak untuk menghabiskan masa dengan aktiviti seperti membaca, melukis dan bermain,” katanya.
Sampaikan mesej positif
Faizul berkata, dia tetap mengawal masa penggunaan gajet anak-anaknya supaya masih aktif bermain di luar rumah dan mengeluarkan peluh.
“Tidak dibenarkan permainan video, saya dan anak-anak akan meluahkan waktu bersama untuk bercerita kerana komunikasi itu penting antara ibu bapa dengan anak-anak”.
Kandungan video yang dimuat naik juga dititikberatkan oleh Faizul dalam menyampaikan mesej positif melibatkan hubungan kekeluargaan.
Faizul akan memastikan setiap rakaman yang diambil mempunyai makna tersendiri sekali gus dapat mendidik penonton dalam memberikan contoh yang baik kepada mereka.
“Saya akan menyediakan kandungan yang sesuai dan mempunyai unsur didikan kerana anak-anak masih kecil.
“Saya ingin menyampaikan mesej positif kepada orang ramai dan ini secara tidak langsung membuatkan saya memperbaiki diri”.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan