Pengguna terdedah kepada risiko jenayah siber sekiranya tidak mengambil langkah keselamatan siber dan kawalan kendiri.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menasihatkan pengguna internet supaya sentiasa berhati-hati memberi maklumat peribadi ketika melayari media sosial atau aplikasi dalam talian terutama melibatkan laman pencarian teman.
Jabatan Komunikasi Korporat SKMM dalam kenyataan hari ini memaklumkan agensi itu mengambil berat dengan gimik pemasaran laman cari teman Sugarbook baru-baru ini yang mendakwa semakin ramai wanita Malaysia terutamanya penuntut universiti menawarkan diri sebagai “sugar baby” di laman aplikasi itu.
“Dakwaan seperti yang terdapat dalam gimik pemasaran itu perlu disiasat untuk disahkan kerana profil pengguna boleh diolah sesuka hati untuk tujuan yang berlainan termasuk untuk memperdaya mangsa,” menurut kenyataan itu.
Internet membuka ruang kepada komunikasi yang lebih luas dan terbuka termasuk aktiviti tidak bermoral seperti penganjuran parti liar, hubungan terlarang dan penyediaan khidmat pelacuran dalam talian.
Baru-baru ini media melaporkan Malaysia diletakkan pada kedudukan ketiga tertinggi di Asia di belakang India dan Indonesia bagi negara yang mempunyai bilangan “sugar daddy” paling ramai melalui aplikasi Sugarbook, yang menyediakan platform untuk mencari perempuan simpanan atau lebih dikenali sebagai “sugar baby”.
Sementara itu, Jabatan Komunikasi Korporat SKMM memaklumkan selain Sugarbook, terdapat pelbagai aplikasi lain yang menawarkan perkhidmatan “dating service” atau percintaan secara dalam talian.
“Pengguna harus sedar bahawa mereka mudah tertipu dan terdedah kepada risiko jenayah siber sekiranya tidak mengambil langkah keselamatan siber dan kawalan kendiri.
“Risiko scam percintaan (love scam) akan tertambah dengan terdedah juga kepada malware (perisian hasad) dan spyware (perisian intip), kebocoran maklumat peribadi dan gangguan seksual,” demikian menurut kenyataan tersebut.
Sehubungan itu, SKMM akan terus memantau dan menyiasat bersama polis aplikasi Sugarbook dan akan mengambil tindakan terhadap pengguna dan pemilik platform itu sekiranya didapati melakukan aktiviti yang melanggar undang-undang negara.
Jika terdapat unsur kegiatan pelacuran, tindakan lanjut akan dijalankan oleh polis.
Ibu bapa dan penjaga pula dinasihatkan sentiasa mengawasi tingkah laku dalam talian anak di bawah jagaan masing-masing dan peka dengan perubahan gaya hidup yang boleh menimbulkan keraguan, demikian menurut kenyataan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan