Rabu, 3 Februari 2021

Bayaran RM500 kepada petugas, pesara PDRM dibuat berperingkat mulai Mac

Athirah Huda Zalhe

Pemohon perlu sedia dokumen sokongan seperti syarat Pekeliling Akauntan Negara

BANGI – Pembayaran bantuan secara one-off sebanyak RM500 kepada 80,000 pesara, bekas dan petugas polis yang masih hidup akan dibuat secara berperingkat mulai Mac hingga November ini.

Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Ramli Din berkata, jabatannya dipertanggungjawabkan untuk membantu dan menyelaras urusan penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) dan pemberian one-off RM500 melalui Bahagian Hal Ehwal Pesara Polis (BHEPP).

Beliau berkata, dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PDRM bersetuju pemberian one-off RM500 kepada mereka yang layak mengikut statut PJPN termasuk yang belum menerima pingat.

“Pengemaskinian maklumat pesara polis/ bekas polis/ petugas polis boleh dibuat melalui pautan http://epesara@rmp.gov.my dan pembayaran akan dibuat mulai bulan Mac 2021 hingga November 2021 secara berperingkat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, katanya, pemohon perlu menyediakan dokumen-dokumen sokongan yang perlu disahkan seperti mana disyaratkan di dalam surat Perkeliling Akauntan Negara Malaysia Bilangan 7 Tahun 2018.

“Ketua Jabatan Pengurusan Kontinjen/ Ketua Polis Daerah/ Ketua Polis Balai akan membantu dalam memudahkan urusan-urusan pengemaskinian maklumat dan pengesahan dokumen bagi memudahkan pesara/ bekas polis/ petugas polis di kontinjen dan daerah yang berkenaan.

“Untuk sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi talian hotline 03-22664011/ 4012/ 4013/ 4014/ 4015. Bilik gerakan ePesara PDRM beroperasi dari jam 8.30 pagi hingga 10 malam setiap hari bekerja,” katanya.

Pemberian bantuan RM500 telah dipersetujui kerajaan ketika ucapan penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 pada 26 November lalu.

Tiada ulasan: