Isnin, 1 Februari 2021

Anonymous mula menyerang .

Hafidzul Hilmi Mohd Noor
 
GAMBAR hiasan

Kuala Lumpur: Selepas memberi amaran kepada kerajaan Malaysia minggu lalu, penggodam dikenali Anonymous Malaysia mula melakukan serangan di beberapa laman sesawang milik kerajaan tengah malam tadi.

Perkara itu dimaklumkan kumpulan berkenaan menerusi status yang dimuat naik di laman Faceebook Anonymous Malaysia dan mendakwa mula menyerang beberapa portal kerajaan sejak malam tadi.

Antara yang menjadi sasaran kumpulan dikenali 'cyberpunk' itu termasuklah portal Kerajaan Negeri Sabah dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Turut diserang ialah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Majlis Perbandaran Selayang dan portal milik kerajaan negeri Perak.

Minggu lalu, Anonymous Malaysia kembali muncul menghantui laman web dan aset dalam talian selepas lima tahun berdiam diri.

Kemunculan kembali kumpulan itu dibuktikan menerusi satu video berdurasi 2.29 minit yang dikongsikan di Facebooknya.

Menerusi mesej video itu, kumpulan itu berjanji untuk mengadakan serangan siber terhadap laman web kerajaan dan aset atas talian dikenali sebagai #OpsWakeUp21

Majlis Keselamatan Negara (MKN) melalui Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) memandang serius ancaman itu.

MKN dalam satu kenyataan dilaporkan berkata, sehubungan itu, NACSA sudah mengeluarkan satu notis amaran kepada semua agensi kerajaan untuk mengambil langkah perlu bagi mencegah dan meminimumkan impak ancaman serangan itu.

Tiada ulasan: