Isnin, 8 Februari 2021

14 warga asing ditangkap berkeliaran ketika kuarantin

Oleh MASTURA SURADI
 
WARGA asing yang sedang menjalani perintah kuarantin ditahan selepas berkeliaran di pusat bandar Kota Tinggi, Johor.

KOTA TINGGI: Seramai 14 warga asing yang sedang menjalani perintah kuarantin ditahan selepas berkeliaran di sekitar pusat bandar Kota Tinggi, hari ini.

Ketua Polis daerah, Superintenden Hussin Zamora berkata, kesemua mereka terdiri daripada 12 warganegara Nepal dan masing-masing seorang warganegara India serta Bangladesh.

Beliau berkata, kesemua mereka sedang menjalani perintah kuarantin berikutan penularan Covid-19 di tempat kerja.

“Hasil rondaan gabungan dari pasukan Task Force Covid-19, Balai Polis Kota Tinggi dan Kementerian Kesihatan menahan seramai 14 warga asing di beberapa tempat di sekitar bandar Kota Tinggi.

“Hasil siasatan awal mendapati kesemua mereka menunggu giliran untuk dipotong gelang kuarantin.

“Bagaimanapun, perbuatan mereka berkeliaran sebelum tamat arahan perintah kuarantin adalah satu kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hussin berkata, kesemua mereka yang berusia antara 22 tahun tahun hingga 34 tahun ditangkap dan disiasat dibawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan dengan cuai dan berbahaya yang boleh merebakkan penyakit berjangkit. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: