Rabu, 13 Januari 2021

YADIM puji sikap Mia Sara tak mahu buka tudung

Wartawan MalaysiaGazette
35388879_2007373146245519_1534462630834470912_n
Mia Sara

KUALA LUMPUR – Kecekalan Mia Sara yang memilih untuk kekal bertudung meskipun diminta membukanya untuk berlakon satu sifat terpuji.

Pujian itu dibuat oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) yang menganggap sikap pelakon muda itu perlu dicontohi.

“Sifat seperti ini melambangkan kesungguhan beliau mempertahankan agamanya meskipun cuba diganggu gugat oleh cabaran industri.

“Mia Sara boleh memilih untuk membuka auratnya walaupun sedikit, atas alasan keperluan kerja yang mungkin juga akan memberinya jalan untuk lebih banyak peluang atau tawaran berlakon, namun beliau memilih untuk tidak berbuat demikian,” kata YADIM dalam satu kenyataan hari ini.

Baru baru ini dalam satu majlis Mia Sara atau nama penuhnya, Mia Sara Nasuha Muhammad Ridhuan mendedahkan ada sebuah produksi mengenakan syarat agar membuka tudung sebelum diterima berlakon dan dia enggan berkompromi.

“Tahniah kepada Mia Sara. YADIM menyokong penuh kenyataan dan pendirian beliau bahawa mana mana produksi harus menghormati pendiriannya untuk terus bertudung dengan tidak memintanya mengubah penampilan semata-mata untuk tawaran yang diberikan,” katanya dalam satu kenyataan yang sama.

YADIM juga mengucapkan selamat maju jaya kepada Mia Sara dalam kerjaya serta semua bidang yang diceburi.- MalaysiaGazette

Tiada ulasan: