GEORGETOWN: Seorang wanita kurang siuman patah kaki kanan selepas terjatuh di atas bumbung aras satu dari tingkap kediamannya di tingkat tiga, Farlim Fortune Court, Ayer Itam di sini petang ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu, mangsa berusia 44 tahun diselamatkan pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Paya Terubong.
Pegawai Operasi, Safry Romli berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 4.42 petang dan tiba ke lokasi kejadian kurang 10 minit kemudian.
“Sebaik sahaja anggota tiba di lokasi kejadian, mangsa ditemukan dalam keadaan duduk di atas bumbung tingkat satu bangunan terbabit.
“Tindakan anggota adalah menggunakan tangga jentera ke tingkat satu bagi menurunkan mangsa menggunakan ‘streacher’,” katanya kepada pemberita di sini.
Menurutnya, akibat kejadian tersebut mangsa mengalami kecederaan patah kaki dan dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut.
Operasi menyelamat tamat sepenuhnya pukul 5.33 petang ini. – UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan