Jumaat, 1 Januari 2021

Tok Pa beritahu sebab projek HSR batal

Perjanjian dua hala projek keretapi laju luput tarikh dan Malaysia kini perlu 
membayar pampasan RM320 juta kepada Singapura. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Tiada persetujuan berhubung struktur projek, jajaran dan reka bentuk stesen menyebabkan projek keretapi laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR) menemui jalan buntu.

Menteri di-Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed berkata, Malaysia dan Singapura gagal bersetuju mengenai beberapa isu.

Dalam kenyataan, Mustapa, yang juga dikenali dengan panggilan Tok Pa berkata, kerajaan telah meneroka pelbagai idea alternatif bagi mengurangkan kos projek berkenaan sejak 2018 (ketika Pakatan harapan (PH) mengambil alih kerajaan) kerana struktur asal projek itu memerlukan jaminan jangka panjang yang besar di pihak kerajaan.

“Struktur baharu projek dijangka menawarkan fleksibiliti kepada kerajaan dalam opsyen kewangan, seperti bayaran tertangguh, perkongsian awam-swasta dan akses kepada pembiayaan pada kadar lebih baik,” katanya.

“Perubahan struktur projek yang dicadangkan akan membolehkan kita memanfaatkan projek itu untuk mempercepatkan pemulihan ekonomi dengan mempercepat permulaan fasa pembinaannya selama hampir dua tahun.”

Beliau berkata, kesan besar pandemik COVID-19 ke atas ekonomi meningkatkan keperluan untuk mengurangkan kos projek.

Kerajaan kedua-dua negara gagal mencapai kata sepakat berhubung cadangan itu sebelum perjanjian dua hala projek berkenaan tamat pada 31 Dis 2020.

Tok Pa berkata, kerajaan akan terus meneroka opsyen alternatif, termasuk kebolehlaksanaan projek keretapi laju domestik dan manfaatnya kepada rakyat.

Katanya, Malaysia akan mematuhi terma asal perjanjian itu dan akan memulakan perbincangan dengan Singapura bagi menentukan jumlah pampasan yang sesuai yang akan diterima oleh republik itu.

Sumber di Putrajaya memberitahu FMT bahawa Malaysia perlu membayar pampasan sebanyak kira-kira RM320 juta kepada Singapura.

Tiada ulasan: