Jumaat, 8 Januari 2021

Sakit hati dengan penceroboh, PEMBELA nekad ke Pejabat Daerah Raub

Athirah Huda Zalhe

 

Harap perjuangan bebaskan tanah dari penjajah alaf baharu dipermudah

BANGI – Rentetan daripada pendedahan semalam, Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) mengadakan kunjungan ke Pejabat Daerah dan Tanah Raub.

Kunjungan yang diketuai Naib Pengerusi PEMBELA, Ustaz Masridzi Sat itu bertujuan membincangkan isu pencerobohan tanah dan banjir di daerah berkenaan.

Selain Masridzi, pertemuan berkenaan turut disertai wakil PEMBELA negeri Pahang dan veteran tentera.

“Alhamdulillah kami dapat berbincang dengan Datuk Pegawai Daerah Raub dalam isu ceroboh tanah dan banjir di Raub.

“Terima kasih atas layanan baik yang diberikan oleh pihak pejabat daerah.

“Semoga usaha kita bersama berjuang dalam pelbagai segmen dan sudut untuk membebaskan tanah air ini dari penjajah alaf baharu diberikan pertolongan dan bantuan oleh Allah SWT,” kata PEMBELA dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Masridzi dan pimpinan PEMBELA Pahang serta veteran tentera meninjau kawasan yang dijadikan kebun durian Musang King secara haram di Raub, buat pertama kali setelah penceroboh mendapat kebenaran untuk terus ‘menduduki’ tanah itu oleh Mahkamah Rayuan.

Beliau mendedahkan bahawa penceroboh tanah kerajaan di Raub mengawal ketat setiap penjuru kawasan termasuk sekitar simpang masuk.

“Melihat keadaan di sini memang menyakitkan hati kerana setiap penjuru kawasan termasuk di setiap simpang masuk sekitar kawasan tersebut dikawal ketat oleh puak-puak penceroboh tersebut,” dakwa Masridzi.

Selasa lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan 204 pekebun durian Musang King di sekitar Raub supaya menangguhkan notis arahan pengosongan tanah yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri Pahang sehingga rayuan mereka diselesaikan.

Panel tiga hakim dianggotai Datuk Yaacob Md Sam, S. Nantha Balan dan Datuk M. Gunalan membuat keputusan tersebut pada prosiding yang dijalankan menerusi aplikasi zoom.

Menurut peguam Siew Choon Jern yang mewakili semua plaintif itu, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan untuk menangguhkan semua prosiding berhubung notis pengosongan sementara menunggu rayuan selesai terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak kebenaran untuk semakan kehakiman.

Tiada ulasan: