Jumaat, 15 Januari 2021

Restoran ala kopitiam gaji 9 PATI diserbu

Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM
SEMBILAN PATI ditahan Imigresen dalam serbuan Jabatan Imigresen di sebuah restoran ala kopitiam di Petaling Jaya, Selangor, Selasa lalu. - GAMBAR JABATAN IMIGRESEN

PUTRAJAYA: Sebuah restoran ala kopitiam di Petaling Jaya, Selangor diserbu Jabatan Imigresen Selasa lalu kerana dipercayai menggaji pendatang asing tanpa izin (PATI).

Sembilan warga asing terdiri daripada enam lelaki Bangladesh, seorang lelaki Pakistan, seorang wanita warga India dan seorang wanita warga Indonesia berusia antara 27 hingga 38 tahun ditahan dalam serbuan pada pukul 2.30 petang.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, semasa operasi itu seorang lelaki tempatan berumur 43 tahun yang bekerja sebagai pengurus dan penyelia premis terbabit dikenakan notis hadir memberi keterangan.

Menurut beliau, ketika pemeriksaan, terdapat insiden provokasi apabila terdapat pekerja yang cuba merakam gambar dan video serta menganggu tugas pegawai imigresen.

“Namun, situasi ini berjaya dikawal dengan diplomasi tanpa sebarang insiden kekerasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairul Dzaimee berkata, warga asing yang ditahan didapati melakukan kesalahan di bawah seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki pas sah dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana telah melanggar syarat pas.

Beliau berkata, kesemua tahanan itu ditempatkan di lokap Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk siasatan dan tindakan lanjut selepas keputusan ujian mendapati semua tahanan negatif Covid-19.

Beliau menjelaskan, operasi dijalankan berdasarkan daripada maklumat aduan awam dan hasil risikan jabatan sekali gus seramai 16 pegawai Imigresen dari Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA, Putrajaya ditugaskan membuat serbuan ke atas premis tersebut.

“Walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ini tidak bermakna kegiatan menyalahi undang-undang negara akan dibiarkan berlaku.

“Tangkapan dan pendakwaan akan tetap dilakukan ke atas warga asing yang cuba mengambil kesempatan,” katanya.

Pada masa sama, katanya, orang ramai diminta supaya terus menyalurkan maklumat tentang PATI supaya tindakan penguatkuasaan dapat dijalankan. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: