Selasa, 5 Januari 2021

Polis serbu 2 pusat hiburan langgar PKPP

LANGKAWI: Helah dua premis pusat hiburan di pekan Kuah, di sini menggunakan pintu belakang untuk beroperasi secara haram, diserbu polis kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Serbuan dilakukan sepasukan anggota dan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Kedah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah pada jam 2 hingga 5 pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Sapii Ahmad berkata, dalam operasi itu, seramai 30 individu ditahan iaitu 25 lelaki dan lima wanita berusia antara 23 hingga 58 tahun.

Beliau berkata, modus operandi mereka ialah membuka bahagian belakang premis untuk pelanggan masuk ke premis ittu manakala bahagian depan ditutup.

"Ia bertujuan untuk mengaburi pihak berkuasa kononnya premis itu tidak beroperasi.

"Hasil maklumat dan risikan yang diperoleh, anggota kita menyerbu kedua-dua premis terbabit dan menahan semua individu berkenaan yang sedang berhibur," katanya di sini, hari ini.

Sapii berkata, hasil pemeriksaan mendapati pelanggan yang datang ke premis itu juga tidak mengamalkan penjarakan fizikal dan melanggar prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan ketika PKPP ini.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 19 daripadanya didapati positif dadah berdasarkan ujian saringan awal air kencing yang dijalankan.

"Berikutan itu, pemilik premis diambil tindakan mengikut Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Negeri Kedah.

"Semua mereka dikompaun RM1,000 kerana melanggar PKPP mengikut Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (2020).

Sapii berkata, 19 individu yang didapati positif dadah disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Tiada ulasan: