Selasa, 12 Januari 2021

Polis cedera cuba lerai pergaduhan

Nazri Abu Bakar

GAMBAR hiasan

Alor Gajah: Seorang anggota polis cedera ketika cuba meleraikan pergaduhan membabitkan dua kumpulan individu di Jalan Besar, Simpang Tiga Ayer Pasir, Machap Baru, di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, anggota yang bertugas di Balai Polis Machap Baru bersama seorang rakan setugas ke lokasi kejadian pada 8.10 malam selepas menerima aduan orang awam mengenai kekecohan di lokasi terbabit.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, ada perselisihan faham membabitkan dua kumpulan individu, namun dalam usaha meleraikan pergaduhan itu, anggota polis terbabit diserang sekumpulan lelaki.

"Mereka menyerang dan menampar anggota polis itu selepas mencetuskan provokasi dengan mengeluarkan kata kesat.

"Kumpulan terbabit juga menghalang polis daripada menjalankan tugas. Seorang daripada kumpulan itu menumbuk dan menendang mangsa di muka sebelum diserang lebih kurang tujuh lelaki lain.

"Seorang lagi anggota polis meleraikan rusuhan terbabit, manakala mangsa masih cuba meredakan keadaan. Akibat kejadian itu, mangsa cedera di hidung, bibir dan tangan kanan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat, polis menahan lima lelaki berusia 20 hingga 59 tahun di sekitar Machap Baru bagi membantu siasatan.

"Mereka ditahan reman selama lima hari bagi melengkapkan siasatan. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 332 dan Seksyen 147 Kanun Keseksaan," katanya.

Tiada ulasan: