MALAYSIAKINI
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memberi amaran keras kepada pihak yang cuba menganggu-gugat usaha kerajaan dalam membendung penularan Covid-19.
“Saya berikan amaran keras sesiapa yang cuba menganggu-gugat usaha kerajaan untuk menguruskan Covid-19 dan ekonomi negara akan diambil tindakan tegas demi keselamatan rakyat dan negara,” katanya dalam pengumuman khas pengisytiharan darurat hari ini.
Selain itu, Muhyiddin juga berkata pilihan raya umum, pilihan raya negeri dan pilihan raya kecil tidak akan diadakan sehingga jawatankuasa khas bebas memaklumkan keadaan pandemik Covid-19 telah reda atau pulih sepenuhnya dan ia selamat untuk diadakan.
“Untuk menjamin pelaksanaan tempoh darurat dibuat secara adil dan telus, sebuah Jawatankuasa Khas Bebas akan ditubuhkan di bawah suatu Ordinan untuk menasihati Seri Paduka Baginda sama ada darurat besar masih berlaku dalam Persekutuan bagi meneruskan tempoh kuat kuasa Proklamasi Darurat atau menamatkan Proklamasi lebih awal dari tarikh yang ditetapkan,” katanya.
Sebelum pengisytiharan darurat hari ini, pemimpin Umno mendesak agar PRU15 diadakan segera dengan alasan supaya kerajaan yang mendapat mandat rakyat dapat dibentuk.
Ini berlaku ketika hubungan Umno dengan Bersatu semakin tegang ekoran satu demi satu bahagian Umno mengemukakan usul untuk menamatkan kerjasama di antara mereka.
Baru-baru ini, mesyuarat MT Umno pula memutuskan untuk membawa usul berkenaan hubungan parti mereka bersama Bersatu ke perhimpunan agung parti pada hujung bulan ini.
Beberapa ahli parlimen Umno pula, termasuk Tengku Razaleigh Hamzah (MP Gua Musang) dan Ahmad Jazlan (MP Machang) menyatakan pendirian tidak menyokong kerajaan Perikatan Nasional yang dipimpin Muhyiddin.
Muhyiddin kini hanya memperolehi sokongan 110 daripada 220 ahli parlimen di Dewan Rakyat.
Untuk rekod secara keseluruhan Dewan Rakyat memiliki 222 kerusi. Bagaimanapun dua daripadanya kosong disebabkan kematian wakil penyandangnya iaitu mendiang Liew Vui Keong (Batu Sapi) dan allahyarham Hasbullah Osman (Grik).
Sementara itu, Muhyiddin dalam pengumumannya memaklumkan aktiviti ekonomi akan terus berfungsi tertakluk kepada SOP dan perintah kawalan pergerakan yang berkuatkuasa.
“Kerajaan akan memastikan aktiviti ekonomi tidak terhenti agar rakyat mampu untuk terus bekerja dan perniagaan, perdagangan dan industri dapat terus beroperasi seperti biasa,” katanya.
Pada masa sama, Muhyiddin turut menekankan kepada pemegang taruh bahawa meskipun sepanjang tempoh darurat Malaysia masih terbuka dengan aktiviti perniagaan.
“Dalam berdepan dengan keadaan yang mencabar, pengisytiharan darurat akan memberikan keadaan yang stabil dan aman, serta membolehkan kita menumpukan terhadap pemulihan dan pertumbuhan ekonomi,” katanya sambil memberi jaminan bahawa negara akan mengekalkan tadbir urus yang baik.
Menyampaikan jaminan tersebut khusus buat para pemegang taruh dalam bahasa Inggeris, Muhyiddin turut berkata kerajaan akan meneruskan usaha keras bagi pemulihan ekonomi yang dilakukan sejak tahun lalu lagi.
“Saya merayu saudara dan saudari sekalian supaya kekal tenang dan memberikan kepercayaan serta sokongan sepenuhnya kepada kerajaan untuk membendung penularan Covid-19 dengan lebih berkesan sepanjang tempoh darurat dilaksanakan.
“Saya juga menyeru kepada semua ahli politik, pemimpin masyarakat sivil, pertubuhan bukan kerajaan, badan-badan agama, belia, mahasiswa dan setiap lapisan masyarakat supaya bersatu dan berganding bahu dalam menghadapi situasi yang amat sukar ini.
“Yang penting, matlamat kita hanyalah satu iaitu kita mesti menang dalam memerangi Covid-19,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan