Sabtu, 16 Januari 2021

PKP kurang kesan buruk ekonomi - Prof Noor Azlan

KUALA LUMPUR: Ekonomi negara tidak terlalu terjejas walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan semula di beberapa negeri, sejak Rabu lalu.

Pengarah Eksekutif, Majlis Tindakan Ekonomi, Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri, Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali, berkata ini berikutan perhatian lebih awal terhadap kumpulan rentan sudah pun diberikan oleh kerajaan.

Beliau berkata, kesan pelaksanaan PKP kali ini berbeza berbanding antara Mac hingga Mei lalu, selain penjaja mempunyai lebih ruang untuk menjalankan perniagaan mereka.

"Kalau lihat beberapa program secara terus, memang tertumpu kepada kumpulan rentan, iaitu golongan B40 (keluarga berpendapatan 40 peratus terendah) dan M40 (keluarga berpendapatan 40 peratus pertengahan). Selain itu, kerajaan turut menyediakan bantuan kepada industri kecil dan sederhana (IKS) serta mikro.

"Kerajaan maklum bahawa kumpulan ini adalah pertama yang perlu dibantu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam temu bual rancangan Ruang Bicara bertajuk PKP 2.0 dan Darurat: Nasib Kumpulan Rentan disiarkan BERNAMA TV, malam ini.

Penjaja buah di Kampung Jeram berhampiran Jalan Utama Kodiang -Jitra kehilangan pelanggan berikutan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat. - Foto NSTP/MOHD YUSNI ARIFFIN
Penjaja buah di Kampung Jeram berhampiran Jalan Utama 
Kodiang -Jitra kehilangan pelanggan berikutan pelaksanaan 
semula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat. - Foto 
NSTP/MOHD YUSNI ARIFFIN

Noor Azlan berkata, keputusan melaksanakan semula PKP ialah tindakan sukar, selain kerajaan maklum berkenaan indikator ekonomi akan merudum secara mendadak, jika perintah itu dikuatkuasakan.

Katanya, EPU dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berusaha mencari keseimbangan terbaik di antara sektor ekonomi dan kesihatan awam.

"Kita faham keadaan ini bukan biasa. Kerajaan pun amat prihatin mengenai kesan PKP terhadap kumpulan rentan. Saya mohon semua pihak dapat bersabar.

"Pada masa sama, kita cuba cari jalan untuk mengurangkan kesan ekonomi terhadap kumpulan rentan susulan pelaksanaan semula PKP," katanya.

Tiada ulasan: