Jumaat, 15 Januari 2021

PKP 2.0: Honda, Toyota, Perodua henti operasi

Honda merancang untuk menyambung semula operasi pada 26 Jan sebaik PKP 
semasa dijadualkan berakhir tetapi Toyota akan mengambil dasar ‘tunggu dan 
lihat’. (Gambar Reuters)

PETALING JAYA: Toyota Motor dan Honda Motor menghentikan operasi di kebanyakan kilangnya, berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) 2.0 selepas industri pemasangan automotif dikategorikan sebagai perkhidmatan bukan keperluan utama.

Menurut laporan Nikkei Asia, Toyota menutup dua kilang pemasangannya pada Khamis manakala Honda di dua kemudahannya sehari sebelum itu.

Honda merancang untuk menyambung semula operasi pada 26 Jan, tarikh akhir PKP, bagaimanapun seorang wakil Toyota berkata keputusan muktamad mengenai tarikh sebenar itu akan dibuat kemudian.

Kilang pemasangan automotif pada mulanya dikategorikan sebagai industri keperluan utama, tetapi ditarik balik pada saat-saat akhir, petang Selasa lalu.

Malaysia adalah pengeluar kenderaan ketiga terbesar di Asia Tenggara, di belakang Thailand dan Indonesia. Sejak Jan hingga Nov tahun lalu, pengeluaran menyusut 19% kepada kira-kira 430,000 kenderaan.

Pada 2019, Toyota mengeluarkan kira-kira 61,000 kenderaan di Malaysia, termasuk kereta sub-kompak Yaris dan trak pikap Hilux.

Industri pengeluaran kenderaan menuju ke arah pemulihan sejak pengurangan cukai yang ditawarkan kerajaan bertujuan meningkatkan penjualan kenderaan penumpang.

Hasilnya, pengeluaran kenderaan secara automatik melebihi jumlah dari tahun ke tahun bermula Jun lalu.

Dalam pada itu, Perodua juga menghentikan operasinya pada Khamis.

Syarikat itu menjual 220,000 kenderaan tahun lalu dengan bahagian pasaran melebihi 40%.

Tiada ulasan: