Selasa, 12 Januari 2021

Perniagaan di kawasan PKP dibenarkan dari 6 pagi hingga 8 malam

PETALING JAYA: Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob mengumumkan majoriti perniagaan di kawasan perintah kawalan pergerakan (PKP) dibenarkan beroperasi dari 6 pagi hingga 8 malam.

Ini termasuk kedai makan, penjaja dan gerai makan tepi jalan, medan selera, kedai runcit serta serbaneka.

Katanya, stesen minyak dibenarkan beroperasi dari 6 pagi hingga 10 malam, kecuali stesen minyak di lebuh raya dibenarkan beroperasi 24 jam.

Beliau berkata, hospital dan klinik pula dibenarkan beroperasi 24 jam.

Katanya, pusat jagaan kanak-kanak dan tadika juga dibenarkan beroperasi dengan syarat mereka mendapat kelulusan daripada kementerian atau agensi berkaitan.

“Mesyuarat secara bersemuka di kawasan PKP tidak dibenarkan, malah penganjuran majlis keramaian juga tidak dibenarkan.

“Saya minta maaf, antara majlis sosial yang tidak dibenarkan seperti kenduri, majlis perkahwinan, akikah dan sambutan ulang tahun.

“Saya faham ramai yang menempah dewan, mengedarkan kad jemputan. Kita tidak benarkan kerana tidak mahu ada jangkitan di majlis-majlis tersebut. Saya minta maaf, minta mereka menangguhkan kenduri itu dahulu,” katanya dalam sidang media khas.

Ismail berkata, larangan rentas negeri tidak dibenarkan di seluruh negara, kecuali kes tertentu yang dibenarkan polis.

“Sebagai contoh, mereka yang sudah membeli tiket penerbangan diminta tidak membatalkannya, sebaliknya tetap meneruskan penerbangan mereka. Begitu juga bagi mereka yang sudah beli tiket bas ekspres.”

Beliau turut menggesa individu yang terkandas di kampung halaman supaya segera pulang ke rumah masing-masing.

Tiada ulasan: