Kuala Lumpur: Ambil kesempatan ceroboh hutan negara ketika pihak berkuasa sibuk membantu mangsa banjir di negeri pantai timur.
Itu tindakan dua lelaki warga Kemboja yang dikesan menjadi penyangak rimba dengan memburu hidupan liar dilindungi serta mencuri khazanah kayu gaharu.
Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, kedua-dua penjenayah itu bagaimanapun diberkas pegawai penguatkuasa Perhilitan yang melakukan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) jam 12 tengah hari kelmarin.
Menurutnya, kedua-dua suspek berjaya diberkas ketika berkhemah di dalam Rezab Hidupan Liar Krau, Pahang dengan bantuan empat Orang Asli.
"Siasatan mendapati kedua-dua suspek melakukan beberapa kesalahan iaitu menceroboh kawasan perlindungan, memiliki bahagian hidupan liar dan mengambil hasil hutan di kawasan rizab hidupan liar.
"Hasil serbuan itu, pihak Perhilitan berjaya merampas dua unit bahagian hidupan liar disyaki kuku dan gigi haiwan selain turut menjumpai kayu gaharu seberat 10 kilogram serta peralatan mengambil kayu gaharu," katanya.
Beliau berkata, suspek diyakini pencuri kayu gaharu mahir berikutan turut memiliki pencuci gaharu, penggali besi, kapak dan pelbagai peralatan lain.
"Kebiasaannya pencuri kayu gaharu ini turut akan memasang perangkap atau jerat untuk menangkap hidupan liar sepanjang mereka berada di dalam hutan.
"Mereka ini boleh dianggap golongan penjenayah profesional berikutan mampu hidup di dalam hutan bagi jangka masa lama tanpa membawa banyak peralatan atau khemah," katanya.
Menurutnya, suspek dan semua barang kes dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh, Pahang untuk tindakan lanjut.
"Bukan mudah untuk menangkap golongan warga asing ini berikutan mereka licik dan cekap bergerak di dalam hutan belantara. Malah mereka disifatkan penjenayah ganas apabila tidak teragak-agak menyerang anggota Perhilitan menggunakan kapak atau parang.
"Sebelum ini, pernah berlaku beberapa kes anggota Perhilitan terpaksa dikejarkan ke hospital akibat cedera diserang warga asing ini,' katanya.
Beliau berkata, kes itu kini disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan