KUALA LUMPUR: Kerajaan akan membina pos terapung di Pulau Ketam bagi memperkukuh kawalan sempadan negara, berdekatan pantai Selangor.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Pasukan Petugas Khas (NTF) memberi cadangan itu, susulan peningkatan kemasukan dan tangkapan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ketara pada 2019 dan tahun lalu.
"Pada 2019, seramai 328 PATI ditangkap di Pulau Ketam dan sebanyak 21 rampasan dibuat dengan nilai RM2.3 juta.
"Namun, jumlah ini terus meningkat pada 2020 dengan seramai 2,002 PATI ditangkap dan 207 rampasan dibuat dengan nilai RM11.7 juta," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Mengenai Op Benteng semalam, Ismail Sabri berkata, 26 PATI ditahan, manakala sembilan kenderaan darat dirampas.
"Sebanyak 113 sekatan jalan raya Operasi Benteng dilaksanakan di seluruh negara membabitkan pelbagai agensi keselamatan termasuk Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM)," katanya.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, PDRM menahan 277 individu semalam, kerana kesalahan ingkar arahan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Beliau berkata daripada jumlah itu, 276 orang dikompaun, manakala seorang direman.
Katanya, antara kesalahan itu ialah gagal menyediakan peralatan serta merekod butiran diri membabitkan 102 individu, tidak memakai pelitup muka (67), aktiviti di pusat hiburan (64) dangagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (43).
"Semalam, sebanyak 2,783 Pasukan Task Force Operasi Pematuhan PDRM membabitkan 11,688 anggota melakukan 47,770 pemeriksaan bagi memantau dan menguat kuasa pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di seluruh negara.
"Sebanyak 3,447 pasar raya; 4,715 restoran; 1,310 kilang; 1,135 pasar awam serta tani; 3,300 tempat ibadah dan 1,277 tempat riadah diperiksa," katanya.
Selain itu, Ismail Sabri berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan melaksanakan 52 operasi sanitasi di seluruh negara, semalam.
"Sebanyak 14 operasi sanitasi di Melaka; Selangor (enam); Johor (enam); Sabah (lima); Terengganu (tiga); Pulau Pinang (tiga); Kelantan (tiga); Kedah (dua); Sarawak (satu); Negeri Sembilan (satu); Pahang (satu); Perak (satu); Perlis (satu); Kuala Lumpur (tiga); Labuan (satu) dan Putrajaya (satu).
"Operasi sanitasi ini membabitkan 373 anggota bomba, 204 anggota pihak berkuasa tempatan serta 82 jentera bomba," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan