Isnin, 11 Januari 2021

Nelayan perlu pampasan setimpal.

Oleh BADRUL HAFIZAN MAT ISA
MD. Isa Johar (kiri) menunjukkan kawasan yang dirancang untuk dilaksanakan Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) kepada wartawan Utusan Malaysia, BADRUL HAFIZAN MAT ISA di Port Dickson baru-baru ini.-UTUSAN/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE.

PORT DICKSON: Isu keresahan nelayan di Telok Kemang dekat sini berhubung Projek Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) bernilai RM15 bilion di Kuala Linggi, Melaka tanpa ada perbincangan mengenai pampasan setimpal buat mereka telah dibawa ke pengetahuan kerajaan Negeri Sembilan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Linggi, Datuk Abdul Rahman Mohd Redza berkata, beliau telah membawa isu berkenaan di dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan sebelum ini, namun, jawapan yang diterima hanyalah ia masih di peringkat perbincangan.

“Sungai Linggi ini dikongsi bersama Melaka dan Negeri Sembilan, sungai yang sama jadi apa sahaja kerja atau pembangunan di tebing pasti akan menjejaskan sungai itu.

“Memang tidak boleh elak, pembangunan yang melibatkan tambah tanah sudah tentunya akan menjejaskan pendapatan nelayan. Jadi, apabila tiada makluman apa-apa mengenai pampasan, nelayan ini resah lah. Saya akan bangkitkan lagi hal ini pada sidang DUN Mac nanti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Akhbar ini kelmarin melaporkan ura-ura pembinaan KLIP yang akan bermula pada suku pertama tahun ini menimbulkan rasa bimbang nelayan di Telok Kemang.

Selain isu pembinaan pelabuhan antarabangsa itu yang melibatkan kerja-kerja menambak laut seluas kira-kira 248 hektar yang tentunya memberi kesan kepada kawasan perairan di Negeri Sembilan termasuk menjejaskan hasil tangkapan, hal pampasan setimpal juga mengundang keresahan kepada para nelayan.

Pengerusi Persatuan Nelayan Telok Kemang, Md. Isa Johar berkata, sehingga kini pihaknya dan kira-kira 200 nelayan di Telok Kemang yang akan terkesan dengan projek itu tidak mempunyai apa-apa maklumat serta tidak mengetahu status tentang pampasan kepada mereka.

Difahamkan, projek pembinaan KLIP akan dimulakan pada suku pertama tahun ini dan akan mengambil masa lima hingga lapan tahun bagi menambak laut seluas kira-kira 248 hektar.

Ia kemudian akan dimajukan dengan pelbagai kemudahan berkaitan pelabuhan yang memberikan perkhidmatan kepada kapal antarabangsa termasuk akan menempatkan tangki simpanan cecair, limbungan pembaikan kapal, limbungan fabrikasi komponen minyak dan gas serta dermaga untuk fasiliti himpitan kapal.-UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: