Rabu, 13 Januari 2021

MPM serah memorandum darurat kepada Agong .

Oleh OMAR ZIN
HASAN Mad (tengah) ketika sidang akhbar selepas menyampaikan memorandum darurat di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Melayu (MPM) menyerahkan memorandum darurat kepada Yang di-Pertuan Agong melalui Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin di Istana Negara.

Setiausaha Agung MPM, Prof. Datuk Dr. Hasan Mad berkata, memorandum itu merupakan saranan MPM selepas Seri Paduka berkenan mengisytiharkan darurat secara serta-merta dan berkuat kuasa hingga 1 Ogos ini.

Beliau berkata, sepanjang tempoh darurat kerajaan perlu mengambil kira pelbagai faktor iaitu perkembangan isu politik, keselamatan, kesihatan dan ekonomi negara.

“Ketidaktentuan kepimpinan dalam kalangan parti-parti politik Melayu yang mendukung kerajaan Perikatan Nasional (PN) menyebabkan rakyat semakin meluat tatkala rakyat berdepan kesengsaraan berganda.

“MPM juga menggesa isu keselamatan seperti kawalan sempadan negara diberi perhatian sewajarnya malah negara juga perlu menumpukan kepada kegawatan ekonomi ekoran kejatuhan nilai ringgit dan pasaran saham serta semakin ramai pelabur yang berhijrah meninggalkan negara ini,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Hasan berkata, MPM menerusi memorandum itu mencadangkan kepada Seri Paduka supaya menubuhkan sebuah badan pentadbiran sementara menyamai Majlis Gerakan Negara (Mageran) memandangkan Parlimen digantung sepanjang tempoh darurat.

“Jadi semasa pentadbiran oleh badan ini, beberapa inisiatif dan tindakan wajar dilaksanakan segera bagi menambah baik malah memperkasa pentadbiran kerajaan.

“Apabila peranan badan ini tamat dan perintah darurat ditamatkan, pentadbiran kerajaan dikembalikan kepada kuasa Dewan Rakyat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: