Selasa, 12 Januari 2021

Menteri jelaskan kenapa tadika swasta dibenar beroperasi

MALAYAIAKINI

Malaysiakini

Menteri Pendidikan Mohd Radzi Md Jidin menjelaskan bahawa tadika swasta, termasuk di negeri di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP), dibenarkan beroperasi kerana ibu bapa perlu bekerja.

Jelasnya, tidak seperti PKP yang mula diperkenalkan pada bulan Mac tahun lalu di mana sebahagian besar sektor ekonomi ditutup, beberapa sektor di bawah PKP ketika ini akan tetap dibuka.

"PKP kali ini berbeza dengan PKP pada Mac (tahun lalu) yang lebih ketat di mana sektor ekonomi tidak dibuka.

"Mereka yang bekerja khususnya menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Maka kita benarkan tadika di kawasan PKP (kali ini) untuk turut dibuka," katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Namun, dia mengatakan bahawa ibu bapa boleh memutuskan sama ada mereka mahu menghantar anak-anak mereka ke tadika swasta atau tidak.

Di bawah PKP semasa, sektor pembuatan, pengeluaran, pembinaan, perkhidmatan, perdagangan dan pengedaran, serta sektor perladangan dan komoditi akan terus beroperasi.

Bagaimanapun, hanya 30 peratus kakitangan pentadbiran yang dibenarkan bekerja di tempat kerja mereka sementara selebihnya mesti bekerja dari rumah.

Kelonggaran yang diberikan kepada tadika swasta menjadi tumpuan kerana kebanyakan sekolah rendah dan menengah di negeri yang diletakkan di bawah PKP akan ditutup untuk kebanyakan pelajar.

Ditanya mengapa tadika kerajaan tidak akan dibuka seperti tadika swasta, Radzi mengatakan ini kerana semua kemudahan pendidikan kerajaan akan mengikuti peraturan yang sama - hanya pelajar yang menduduki peperiksaan yang dibenarkan hadir ke sekolah.

Semua pelajar lain dikehendaki terlibat dalam pembelajaran maya dari rumah.

Dia menekankan bahawa tadika swasta masih harus mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Lima negeri dan tiga wilayah persekutuan akan diletakkan di bawah PKP pada tengah malam ini dalam usaha untuk mengekang penyebaran Covid-19.

Negeri dan wilayah persekutua itu ialah Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Johor, Sabah, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Tiada ulasan: