Oleh Mohd Roji Kawi
Mayat mangsa bot karam di Santubong ditemui terdampar di pantai Trombol berdekatan Kampung Telaga Air, Kuching, hari ini. NSTP/IHSAN BOMBA
KUCHING: Kakitangan Telekom Malaysia yang hilang selepas bot dinaikinya karam di perairan Santubong Ahad lalu, ditemui lemas, hari ini.
Mayat mangsa, Samsudin Beden, 59, ditemui terdampar di Pantai Trombol tidak jauh dari Telaga Air, di sini, pada jam 6.20 pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, berkata mayat mangsa ditemui penduduk kampung yang terletak lebih 20 kilometer dari lokasi bot mangsa ditemui.
"Mayat mangsa ditemui pada hari keenam operasi mencari dan menyelamat dilancarkan sejak Isnin lalu," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mangsa menaiki bot sendirian pada jam 5.50 pagi Ahad lalu untuk ke kampungnya di Lundu.
Ketika itu, laut bergelora dengan ombak dikatakan mencecah ketinggian antara 3.5 hingga 4 meter.
Laporan kehilangan mangsa dibuat keluarganya di Balai Polis Gita pada jam 6 petang Ahad lalu dan Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Kuching menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 6.55 petang.
Operasi SAR yang diaktifkan selepas itu menemui bot mangsa dalam keadaan terbalik di tepi pantai berdekatan Damai Beach Resort, Santubong pada jam 1.20 tengah hari Isnin lalu.
Tidak lama selepas itu, beg yang mengandungi barangan peribadi mangsa termasuk telefon bimbit dan kad pengenalan ditemui terdampar di celah batu di pantai Santubong.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan