JAKARTA: Sekurang-kurangnya 35 orang dilaporkan maut manakala ratusan lagi cedera akibat gempa bumi di Sulawesi dengan mangsa masih terperangkap di bawah puing, dalam pada puluhan gegaran susuran turut dirasakan.
Pihak berkuasa turut memberi amaran gempa susulan yang mampu mencetuskan tsunami.
Ribuan penduduk yang ketakutan lari meninggalkan kediaman mereka ketika gempa dengan magnitud 6.2 itu melanda 6km di timur laut pekan Majene pada kedalaman hanya 10km sebelum jam 1.30 pagi Jumaat.
Gempa bumi dan gegaran susulan merosakkan lebih 300 rumah dan dua hotel selain memusnahkan hospital dan pejabat gabenor daerah, di mana pihak berkuasa memberitahu Reuters ada mangsa terperangkap di dalam runtuhan.
“Alhamdulillah buat masa ini OK, tetapi kami baru mengalami gempa susulan,” kata penduduk, Sukri Efendy, 26.
Sehingga 35 terbunuh di Majene dan daerah bersebelahan, Mamuju, dengan lebih banyak kematian dijangka, kata Darno Majid, ketua agensi bencana di Sulawesi Barat.
Gempa itu turut mengakibatkan tiga tanah runtuh, menyebabkan bekalan elektrik terputus dan merosakkan jambatan.
Maklumat awal daripada agensi bencana menunjukkan 637 orang cedera di Majene, dan 24 di Mamuju.
Tiada amaran tsunami di keluarkan namun ketua Agensi Kaji Cuaca dan Geofizik Indonesia, Dwikorita Karnawati memberitahu sidang media gegaran susulan mungkin membawa gempa lebih besar yang mencetuskan tsunami.
Rakaman video menunjukkan orang ramai berlari ke tempat tinggi menaiki motosikal. Satu rakaman menunjukkan seorang budak perempuan terperangkap di dalam runtuhan dengan orang ramai berusaha mengeluarkannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan