Jumaat, 15 Januari 2021

Kumpulan hak asasi tak setuju ATM diberi kuasa tahan Pati

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Kumpulan hak asasi Tenaganita membidas kenyataan Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob yang mengatakan pelaksanaan proklamasi darurat membolehkan pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menangkap pendatang asing tanpa izin (PATI) yang memasuki sempadan negara.

Pengarah eksekutifnya Glorene A Das berkata, kenyataan Ismail mencerminkan kegagalan pihak imigresen dan pihak berkuasa lain yang berkaitan mengawal sempadan dengan berkesan.

“Menggunakan darurat, meminta tentera memburu dan menahan pendatang asing tanpa proses undang-undang adalah jelas merupakan salah guna kuasa.

“Menguatkuasa undang-undang, termasuk Akta Imigresen mesti dilakukan dengan semangat keadilan dan Bonum Commune (kebaikan bersama masyarakat) tidak menindas yang tertindas serta menanamkan rasa takut kepada mereka sehingga menyebabkan mereka berputus asa, "katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, gesaan Ismail untuk mengarahkan ATM menahan pendatang asing menunjukkan kelemahan sistem Imigresen Malaysia hari ini dan bagaimana pendatang asing dieksploitasi untuk membenarkan darurat.

Dia turut menasihati menteri tersebut supaya tidak menyalahkan pekerja asing susulan peningkatan kes Covid-19.

“Ia sangat membimbangkan, kerana kenyataan sebegitu nampaknya berpunca dari permusuhan yang mendalam dan berakar umbi terhadap orang asing dari luar khususnya yang dipandang rendah dalam masyarakat.

“Kenyataan itu turut menberi bayangan jelas tentang xenofobia yang serius, selain menanam kebencian terhadap pekerja asing,” katanya lagi.

Pada Selasa lalu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat yang dilaksanakan sehingga 1 Ogos bagi membendung wabak Covid-19 di negara ini.

Langkah itu dilakukan di saat negara mencatat kes empat digit sejak November tahun lalu.

Ismail berkata dengan pelaksanaan darurat ini, ia memberi lebih kuasa kepada pihak berkuasa untuk mengawal penularan Covid-19 dan mengenakan denda yang lebih tinggi kepada syarikat yang tidak mematuhi peraturan.

Sementara itu, Penyelaras Lawyers for Liberty Zaid Malek turut meluahkan rasa bimbang dengan kenyataan Ismail berhubung kuasa ATM untuk menahan pendatang asing.

“ATM dilatih untuk berperang dalam konflik bersenjata melawan penceroboh asing dan bukan menahan orang awam.

“Kuasa untuk menahan rakyat biasa patut dilakukan hanya oleh pihak polis, yang dilatih untuk membuat penahanan demikian,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, pihak tentera hanya boleh digunakan untuk membantu polis memastikan kepatuhan perintah kawalan pergerakan.

Tiada ulasan: