Rabu, 20 Januari 2021

Kesalahan ingkar SOP PKP semakin bertambah – Ismail Sabri

MGF120720_PRA-PERSIDANGAN-AHLI-PARLIMEN-BARISAN-NASIONAL0-21
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Seramai 752 individu ditahan pihak berkuasa sepanjang Operasi Pematuhan semalam, atas kesalahan ingkar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 718 individu telah dikenakan kompaun, manakala 34 lagi direman.

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan) itu, antara kesalahan direkodkan ialah tidak memakai pelitup muka seramai 277 orang, gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (137), tiada penjarakan fizikal (128), rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (73), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (39) dan lain-lain (98).

Sementara itu, katanya, dalam Operasi Benteng kawalan sempadan negara pula, 57 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditangkap dan 10 kenderaan darat dirampas.

“Operasi melibatkan polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) itu bagi mengawal sempadan negara dari dibolosi Pati menerusi lorong tikus.

“Sebanyak 443 sekatan jalan raya diadakan di seluruh negara menerusi Operasi Benteng ini,” katanya dalam kenyataan kepada media, di sini, hari ini.

Beliau berkata, dalam operasi itu juga, pasukan keselamatan mengesan 128 bot atau kapal berada di perairan negara melalui lima aktiviti penglihatan.

Mengenai Task Force Operasi Pematuhan, Ismail Sabri berkata, polis telah membuat 53,961 pemeriksaan semalam, bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP PKP.

Katanya, sebanyak 2,778 Pasukan Pematuhan melibatkan 11,950 anggota telah membuat pemantauan di 3,317 pasar raya, 4,627 restoran, 1,780 penjaja, 1,401 kilang, 3,155 bank dan 632 pejabat kerajaan.

Juga dipantau, 1,061 terminal pengangkutan darat, terminal pengangkutan air (254) dan terminal pengangkutan udara (70). – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: