Ahad, 10 Januari 2021

Kemaruk berhibur ketika PKPB, ratusan pengunjung pusat hiburan dikompaun

Srbuan terhadap sebuah pusat hiburan di Waterfornt, Kota Kinabalu, malam tadi, 
 mendapati ratusan pengunjung gagal mengamalkan penjarakan fizikal kerana asyik 
berhibur.

KOTA KINABALU: Ratusan pengunjung di sebuah pusat hiburan di Waterfront dikenakan kompaun selepas didapati melanggar arahan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Habibi Majinji berkata, ia kali ketiga pusat hiburan yang hanya menggunakan lesen perniaggaan kafe itu diserbu sejak PKP dilaksanakan sebelum ini.

“Dalam serbuan malam tadi yang bermula 10 malam itu, tinjauan mendapati premis berkenaan dipenuhi ratusan pengunjung pada satu masa.

“Semua pengunjung terbabit juga didapati langsung tidak mengamalkan penjarakan fizikal selaras penguatkuasaan PKPB dan ini sesuatu yang mengejutkan kerana ia kali ketiga premis ini diserbu sejak PKP dilaksanakan,” katanya ketika dihubungi.

Habibi berkata, pemeriksaan lanjut turut mendapati premis berkenaan beroperasi dengan lesen tamat tempoh dan belum diperbaharui.

“Premis ini hanya menggunakan lesen kafe namun mereka memasang audio muzik yang kuat dan beroperasi tidak ubah seperti pusat hiburan.

“Kita akan mengambil tindakan tegas terhadap semua pelanggan premis itu dengan mengenakan kompaun kerana kesalahan mengikut Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (LLDKJ) (No 8) 2020,” katanya.

Beliau berkata, semua peralatan hiburan seperti pembesar suara dan sistem audio turut dirampas untuk siasatan lanjut.

Katanya, polis akan mencadangkan kepada pihak berkuasa tempatan untuk tidak menyambung atau meluluskan permit perniagaan premis itu kerana melakukan kesalahan berulang.

Tiada ulasan: