Selasa, 12 Januari 2021

Kartel daging, ejen penghantaran pula ditahan

Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM
 

JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor hari ini telah menahan seorang lelaki kerana disyaki terlibat dengan kegiatan rasuah berhubung isu skandal kartel daging.

Lelaki berusia 55 tahun itu dipercayai ejen penghantaran ditahan di Pejabat SPRM negeri kira-kira pukul 8 malam tadi bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut namun enggan mengulas lanjut berikutan kes masih dalam siasatan.

Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret pada pagi esok bagi permohonan reman.

Khamis lalu, SPRM menahan dua pegawai Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Johor kerana disyaki terlibat rasuah berkaitan aktiviti penyeludupan bahan mentah sejuk beku dari negara yang dilarang untuk dibawa masuk ke Malaysia.

Kedua-dua mereka yang berusia 27 dan 31 tahun itu direman selama lima hari selepas dipercayai terlibat dengan sindiket kartel daging sejuk beku import yang didedahkan awal Disember lalu.

Ia susulan pendedahan MAQIS berkenaan kegiatan kartel daging sejuk beku import yang membawa masuk daging tanpa sijil halal sebelum meletakkan logo halal palsu untuk dijual di pasaran tempatan. -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: