Jumaat, 15 Januari 2021

Jawatankuasa khas ditubuh siasat isu ciapan Twitter SKMM

Oleh MOHD HUSNI MOHD NOOR
 

PUTRAJAYA – Kementerian Komunikasi dan Multimedia  menubuhkan jawatan kuasa khas bagi menyiasat isu ciapan membabitkan Twitter Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Jawatankuasa yang ditubuhkan hari ini dikenali sebagai Jawatankuasa Siasatan Kes Ciapan Tidak Senonoh Tahun 2014 di Akaun Rasmi Twitter SKMM.

Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Seri Mohammad Mentek berkata, jawatankuasa itu akan dipengerusikan Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi dan Ekonomi Digital), dan dianggotai oleh empat orang ahli jawatankuasa.

Beliau berkata, jawatankuasa ini akan menjalankan siasatan dengan terperinci bermula esok khususnya mengenai isu ciapan tidak senonoh akaun Twitter SKMM tersebut.

“Kami akan mengenal pasti punca melalui penelitian dokumen, peraturan, kaedah pengendalian dan pihak-pihak yang terbabit serta kemungkinan wujudnya unsur-unsur penyalahgunaan atau penyelewengan.

“Jawatankuasa ini juga mengesyorkan tindakan yang bersesuaian, antaranya tindakan tatatertib, surcaj, membuat laporan polis atau laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Tindakan sivil di mahkamah juga akan dibuat sekiranya wujud kecuaian atau salah laku dalam isu ini,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Katanya, langkah-langkah penambahbaikan juga akan dicadangkan bagi memastikan perkara seumpama ini tidak berulang di masa hadapan. 

Mohammad berkata, siasatan akan dilaksanakan secara telus dan laporan hasil siasatan akan dikemukakan jepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah bersama-sama syor untuk tindakan selanjutnya dengan segera. -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: