Isteri Amri Che Mat memohon perintah mahkamah bagi menggesa polis menyerahkan dokumen berkaitan Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam menyiasat kehilangan aktivis sosial itu sejak empat tahun lalu.
Untuk rekod, pihak polis bergantung pada dokumen SOP terbabit untuk meneliti kesahihan siasatan kehilangan Amri.
Pada 3 April 2019, Suhakam memutuskan bahawa Amri adalah mangsa kehilangan paksa.
Amri, yang didakwa merupakan seorang pendakwah dan pengikut Syiah dilaporkan hilang pada petang 24 Nov 2016 di Kangar, Perlis.
Norhayati Mohd Ariffin selaku plaintif mengemukakan permohonan penzahiran bagi mendapatkan dokumen terbabit sebagai sebahagian tuntutan utama atas kehilangan suaminya.
Berdasarkan surat permohonan yang dilihat Malaysiakini, dia mendakwa dokumen SOP itu perlu diserahkan bagi membantu mahkamah memastikan sama ada siasatan defendan mengenai kehilangan Amri adalah sah.
Pada 18 Nov tahun lalu, Norhayati dilapor mengambil tindakan undang-undang berhubung kehilangan Amri, dengan 21 individu dan entiti dinamakan sebagai defendan.
Selain pihak polis dan kerajaan Malaysia, menteri dalam negeri (tidak dinamakan), bekas menteri dalam negeri Ahmad Zahid Hamidi, bekas ketua polis negara Khalid Abu Bakar dan Mohamad Fuzi Harun serta bekas pesuruhajaya cawangan Khas, Awaludin Jadid turut dinamanakan sebagai defendan.
Norhayati menegaskan defendan mengambil pendirian bahawa mereka telah menjalankan siasatan yang mencukupi dan mengklasifikasikan kes Amri sebagai kes orang hilang adalah wajar.
“Semasa siasatan Suhakam (Suruhanjaya Hak Asasi Manusia), Defendan ke-18 (Polis Diraja Malaysia) memberikan penekanan berat kepada 'prosedur operasi standard tertentu' untuk memberi justifikasi kepada pendirian mereka.
"Oleh itu, dokumen-dokumen itu relevan dan penting," kata dokumen mahkamah merujuk pendirian defendan berhubung siasatan kes Amri.
Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, peguam Norhayati, Larissa Ann-Louis mengesahkan bahawa mereka mengemukakan permohonan penzahiran pada 15 Januari lalu.
Meskipun peguam plaintif membuat permohonan bertulis bagi mendapatkan dokumen SOP terbabit, Larissa berkata polis enggan menyerahkannya.
Larissa juga menjelaskan, tujuan utama pihak plaintif meminta dokumen SOP itu kerana ingin menilai kriteria yang digunakan pihak polis untuk mengklasifikasikan kes tersebut- sama ada ‘orang hilang’ atau ‘penculikan’.
“Ini kerana Amri (dalam siasatan polis) dikategorikan sebagai ‘orang hilang’,” katanya.
“Perbicaraan permohonan penzahiran juga telah ditetapkan pada 28 April,” jelas Larissa lagi.
Tambahnya, tarikh tersebut juga ditetapkan bagi pengurusan kes tersebut di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan