Khamis, 7 Januari 2021

IPT digesa tambah tenaga pengajar untuk pendigitalan pendidikan

Noraini Ahmad berkata 1.2 juta pelajar, termasuk 130,000 pelajar antarabangsa, 
terkesan susulan pengajaran dan pembelajaran tidak dapat dijalankan seperti biasa 
susulan penularan Covid-19. (Gambar fail)

PETALING JAYA: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyeru institut pengajian tinggi (IPT) meningkatkan kapasiti tenaga pengajar untuk mencapai matlamat pendigitalan sektor pendidikan pasca Covid-19.

Menteri Noraini Ahmad berkata, sektor pendidikan tinggi menyumbang lebih RM35 bilion kepada ekonomi negara, antara sektor terjejas sepanjang tempoh pandemik.

Katanya, 1.2 juta pelajar, termasuk 130,000 pelajar antarabangsa, terkesan susulan pengajaran dan pembelajaran (PdP) tidak dapat dijalankan seperti biasa.

“Kita tidak ada pilihan lain, selain daripada memanfaatkan teknologi digital menerusi ‘Massive Open Online Learning’, ‘Open Educational Resources’ dan ‘Flipped Classroom Online’.

“Impian saya dalam tempoh terdekat ini, persekitaran pembelajaran digital yang benar-benar kondusif umpama ‘Classroom of the Future’ di Harvard Business School dapat dilaksanakan di semua institusi pengajian tinggi awam,” katanya pada majlis amanat KPT 2021 secara maya di Facebook.

Dalam meningkatkan keberkesanan pembelajaran secara maya pasca Covid-19, beliau mencadangkan prasarana ICT dipertingkatkan, termasuk aspek fizikal, kapasiti “bandwidth”, dan perkakasan.

“Projek menaik taraf Rangkaian Penyelidikan dan Pendidikan Malaysia (MyREN) yang diluluskan dengan peruntukan RM50 juta dalam Belanjawan 2021 hendaklah disegerakan pelaksanaannya.”

Noraini turut mencadangkan lebih banyak universiti awam diiktiraf sebagai universiti penyelidikan memandangkan program yang dimulakan pada 2006 itu memberikan impak tinggi terhadap kecemerlangan IPT di mata dunia.

Beliau berkata, bagi menjayakan inisiatif ini, KPT mahu universiti penyelidikan sedia ada menjadi mentor kepada universiti yang dikenal pasti melalui program Rakan RU (rakan penyelidikan).

“Pencapaian ini dimanifestasikan melalui pertambahan kemasukan pelajar antarabangsa dan kolaborasi dengan universiti tersohor global, khususnya dalam aspek penyelidikan.

“Saya mengharapkan program ini dapat diperhalusi Jabatan Pendidikan Tinggi.”

Bagi meneruskan keunggulan KPT, beliau menyarankan Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (Akept) dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) melebarkan sayap ke luar negara dalam usaha menarik minat komuniti antarabangsa melabur dalam sektor pendidikan negara.

“Program bersesuaian perlu dirangka untuk menarik minat komuniti antarabangsa. AKEPT sebagai pakar dalam pembangunan kepimpinan bakat pendidikan tinggi perlu lebih kreatif untuk mempromosikan kepakaran yang dimiliki ke persada dunia.”

Tiada ulasan: