Tolonglah bertegas dalam kes penggondolan, pencerobohan oleh taikun yang dianggap kebal
BANGI – Gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) meminta kerajaan negeri Pahang tidak terlalu defensif berhubung isu penggondolan hutan dan banjir besar di negeri itu.
Ini susulan penafian kerajaan negeri bahawa punca banjir teruk yang melanda bukan kerana penerokaan hutan dan tanah, sebaliknya disebabkan hujan lebat luar biasa hampir serentak di seluruh negeri itu.
Bagaimanapun pada masa sama, kerajaan negeri mengakui aktiviti pembalakan masih menjadi sumber ekonomi negeri tetapi dilakukan secara terkawal.
Kenyataan itu dikeluarkan Pejabat Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Pahang sebagai maklum balas laporan muka depan BH kelmarin, ‘Hutan kena gondol punca banjir berlumpur’.
Sebelum ini, Pakar Geologi Kejuruteraan dan Mekanik Tanah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Nor Shahidah Mohd Nazer berkata, banjir yang melanda – di negeri Pantai Timur Semenanjung, khususnya Pahang – tidak akan seteruk sekarang, jika pembersihan hutan khususnya pembalakan dilakukan secara terancang dan terkawal.
Sementara Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Prof Dr Ahmad Ismail berkata, penerokaan haram dan pembangunan yang tidak terancang boleh menyumbang kepada banjir.
Justeru, Presiden ISMA, Haji Aminuddin Yahaya mempersoalkan sama ada teguran pakar-pakar yang bersandarkan kajian-kajian saintifik dan ilmiah diketepikan dengan hujah-hujah separuh masak kerajaan negeri.
“Kita semua memang tahu bahawa banjir adalah disebabkan oleh hujan. Tidak ada siapa yang menafikan perkara itu. Jika kerana hujan semata-mata pun, apakah tindakan kerajaan selepas ini untuk membendung banjir?
“Pakar-pakar yang dimaksudkan itu tidaklah menyatakan bahawa penggondolan hutan adalah punca banjir tetapi penggondolan hutan yang berlaku telah mengakibatkan banjir menjadi sebesar dan seteruk ini.
“Malah, ada yang menyatakan bahawa tidak mustahil negeri Pahang akan ditimpa banjir besar sebegini pada setiap tahun jika tiada perubahan dan tindakan drastik diambil,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut memetik kata pakar mengenai kegiatan haram yang melibatkan penggondolan hutan di Pahang, bukannya aktiviti pembalakan yang sah mengikut had yang ditetapkan seperti yang dihujahkan oleh kerajaan Pahang ini.
Merujuk kepada isu Musang King Raub sahaja, Haji Aminuddin yang juga Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) berkata, lebih belasan ribu ekar tanah digondol secara haram.
Itu belum lagi dikira dengan kes-kes pencerobohan lain di tempat-tempat lain di seluruh Pahang yang tidak terkira itu, katanya.
“Saya pun tidak pasti berapa ratus ribu ekar hutan yang digondol secara haram. Maka, hujah ‘kami membalak mengikut had yang ditetapkan’ adalah menyimpang dalam isu ini,” katanya.
Haji Aminuddin berharap supaya kerajaan negeri bertegas akan isu-isu penggondolan dan pencerobohan hutan oleh taikun-taikun yang dianggap kebal ini.
“Isu Musang King Raub pun kerajaan ‘dibuli’ oleh mereka, tetapi masih boleh bersikap angkuh dan ego terhadap mereka yang menghulurkan tangan ingin membantu kalian.
“Kali ini, pakar-pakar universiti menghulurkan tangan membantu dengan kajian-kajian dan syor-syor mereka juga kalian bersikap dingin sebegini.
“Tidakkah kita insaf melihat rakyat di kampung-kampung menanggung derita? Apakah perasaan apabila turun padang melawat mangsa-mangsa banjir? Ingatlah, kuasa itu hanya sementara dan akan di soal di akhirat kelak,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan