Jumaat, 15 Januari 2021

Darurat bukan ketakutan kepada masyarakat

Oleh Media Mulia
ADZROOL IDZWAN ISMAIL

KUALA LUMPUR: Proklamasi Darurat tidak seharusnya menjadi ketakutan kepada masyarakat dan membawa kecelaruan politik, sebaliknya ia dilihat akan mengekalkan kestabilan dalam menangani Covid-19.

Pengurus Unit Seni Reka dan Acara Komersial, Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Adzrool Idzwan Ismail berkata, perisytiharan darurat adalah tepat pada waktunya manakala golongan belia seharusnya kekal tenang dan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Beliau berkata, tempoh lapan bulan akan datang bakal melahirkan generasi belia yang berfikiran kreatif, lebih-lebih lagi dalam konteks kelangsungan hidup untuk menghadapi cabaran baharu sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan darurat.

“Darurat hanya satu mekanisme pentadbiran lebih jelas bagi membolehkan kerajaan mengetengahkan pendekatan serta strategi baharu dalam mengendalikan wabak Covid-19. 

“Perisytiharan ini juga membolehkan tindakan kerajaan dilaksanakan menggunakan saluran perundangan lebih kukuh, cekap, dengan proses kawalan penyakit berjalan dengan lancar,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Mohd. Alif Anas Md. Noor berkata, darurat merupakan langkah terbaik membendung Covid-19 yang semakin kritikal.

“Namun, dalam usaha memerangi wabak ini, GPMS berharap perhatian khusus boleh diberikan menerusi peluang pekerjaan yang lebih meluas kepada graduan institusi pengajian tinggi dan teknikal agar belia tidak terbeban dengan masalah pengangguran.

“Perhatian turut diberikan kepada nasib pelajar dan pendidik golongan berpendapatan rendah (B40) dan yang tinggal diluar bandar dalam menjalani pembelajaran secara maya,” katanya.

Selain itu, Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK), Muhammad Amir Asyraf Mohd. Sabri berkata, pihaknya mengambil berat dan maklum akan darurat yang diumumkan kerajaan Selasa lalu.

“MPPK percaya langkah ini adalah inisiatif terbaik untuk membendung penularan Covid-19 memandangkan peningkatan kes mencecah lebih 2,000 kes. 

“Situasi menjadi lebih kritikal dengan kejadian banjir di sekitar kawasan pantai timur dan selatan mengakibatkan kerajaan perlu melakukan tindakan yang bersesuaian,” katanya.

Turut menyuarakan sokongan, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha.

Beliau berkata, darurat membolehkan keadaan politik negara menjadi stabil seketika agar fokus menangani wabak pemulihan ekonomi dapat dilaksana kerajaan.

“Pengumuman darurat ini dilakukan secara berhemah dengan mengambil kira kepentingan dan kesejahteraan rakyat dan diharapkan sebagai langkah terbaik terhadap usaha memberi fokus memerangani Covid-19 sepenuhnya.

“Langkah ini juga dapat memastikan proses pentadbiran negara dapat terus beroperasi dengan saksama,” katanya. – UTUSAN

Tiada ulasan: