Sabtu, 9 Januari 2021

Cico diracun, Uji Rashid lalui kehidupan sukar

Oleh AIDA RIZMARIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR: Pernah dihalau gara-gara gagal membayar sewa rumah, itu antara nasib yang menimpa seorang biduanita negara.

Berkongsi apa yang dilaluinya sejak tiga tahun lalu, Uji Rashid memberitahu kehidupan yang dilaluinya agak sukar memandangkan terpaksa menjaga anaknya Cico Harahap, 41.

“Hidup kami memang susah, hanya Allah SWT sahaja yang tahu. Saya, Cico dan cucu, Rindu, pernah dihalau dari rumah sewa dalam keadaan sehelai sepinggang. Kami terpaksa menginap di hotel bajet selama berbulan-bulan.

“Namun ada seorang peminat yang baik hati memberi kami tempat berteduh. Bagaimanapun tahun lalu, atas bantuan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, kami ditempatkan di Projek Perumahan Rakyat (PPR),” katanya yang membuat pendedahan dalam program Telekung Talk di platform Facebook Muhayya Momentum semalam.

Berkongsi mengenai keadaan anaknya kini, kata Uji, dia semakin pulih.

Namun sehingga kini Cico masih gagal bertutur mahupun menulis dengan baik.

Melalui program itu juga, Uji turut mendakwa, Cico sebenarnya diracun kawan-kawanya sendiri.

“Sebenarnya Cico bukanlah disihir tetapi diracun oleh rakan-rakannya. Menurut doktor beberapa jenis racun dicampur ke dalam gelas minumannya. Difahamkan juga racun itu mampu membunuhnya dalam tempoh empat jam.

“Saya masih ingat Cico muntah-muntah dan wajahnya dipenuhi darah. Berhari-hari dia terlantar sakit di atas katil. Masa itu saya hanya berserah dan memohon petunjuk daripada Allah SWT.

“Satu hari Cico bangun tetapi dia hanya diam apabila ditanya. Dia tidak kenal saya mahupun anaknya sendiri. Bila ditanya doktor siapa nama, dia jawab Pikee. Saya difahamkan racun itu memberikan kesan terhadap otak, organ dalaman dan kotak suaranya,” katanya.

Turut berada dalam program yang sama Datuk Dr Prof Muhaya yang menitipkan nasihat kepada Uji agar terus bersabar dalam melalui dugaan ini.

Telekung Talk kendalian pengacara Abu Talib Husin, ia diperkenalkan sejak tiga tahun lalu dan pernah menampilkan selebriti popular antaranya Neelofa, Lisa Suruhani, Fazura. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: