Sabtu, 16 Januari 2021

Bincang isu penjaja di simpang lampu isyarat

Oleh Mohd Amin Jalil
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

SEREMBAN: Kerajaan negeri akan berbincang dengan Ketua Polis Negeri Sembilan berhubung isu larangan penjaja makanan dan minuman di persimpangan lampu isyarat yang didapati berleluasa di sekitar daerah ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata aktiviti penjaja seperti itu sememangnya boleh menjejaskan faktor keselamatan diri dan orang lain.

Bagaimanapun, katanya, dalam keadaan hari ini yang mana kehidupan sebahagian besar rakyat terkesan dengan penularan wabak COVID-19, perkara itu mungkin boleh diberikan kelonggaran.

"Saya akan minta Setiausaha Kerajaan Negeri (Datuk Dr Razali Ab Malik) untuk berbincang dengan Ketua Polis Negeri Sembilan mengenai perkara ini. Saya lihat masyarakat dapat menerima konsep perniagaan seperti ini dan nampak berjaya.

"Malah jumlah penjaja seperti itu semakin bertambah. Jika dulu saya nampak penjaja jual buah mangga sahaja, tapi sekarang dah ada macam-macam. Kita bimbang ada kemungkinan suatu

hari nanti, kenderaan di lampu isyarat tak boleh bergerak sebab ramai peniaga," katanya.

Beliau berkata, berikutan masalah kehidupan rakyat dan kesukaran sebahagian golongan muda untuk mendapatkan pekerjaan ketika COVID-19, polis mungkin boleh beri pertimbangan terhadap aktiviti berkenaan.

Aminuddin berkata, langkah sewajarnya mungkin boleh diambil dengan mengehadkan jumlah penjaja di sesuatu laluan.

"Kita sedar konsep berniaga seperti ini bukan sahaja wujud di Negeri Sembilan tetapi berlaku di tempat dan negeri lain.

"Bagaimanapun perbincangan mengenainya akan dibuat dengan pihak polis agar dalam situasi sukar ini dapat diberi sedikit kelonggaran. Namun ia terpulang kepada budi bicara polis," katanya.

Semalam, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim, dilaporkan berkata penjaja makanan dan minuman di persimpangan lampu isyarat di daerah Seremban diminta menghentikan kegiatan itu kerana ia suatu kesalahan.

Tiada ulasan: