Bekalan darah di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di Kota Bharu kini berada dalam keadaan kritikal dan hanya mampu bertahan hingga tempoh tiga hari sahaja, kata pengarahnya Dr Selasawati Ghazali.
Katanya keadaan itu berlaku berikutan HRPZ II tidak dapat mengadakan program derma darah secara meluas memandangkan keadaan semasa yang menyebabkan pelaksanaan program perlu dihadkan.
“Sebelum ini, kami sering mengadakan program derma darah dengan penglibatan pelajar-pelajar dari universiti dan kolej selain program-program di pasar raya untuk mengutip bekalan darah namun disebabkan keadaan semasa seperti pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) dan PKP bersyarat (PKPB) baru-baru ini ia tidak dapat diadakan.
Susulan itu, katanya, kutipan darah kini hanya tertumpu kepada mereka yang datang ke hospital sekali gus menyebabkan bekalan darah sangat kritikal.
"Saya merayu kepada rakyat Kelantan untuk datang ke hospital bagi menderma darah kerana pihak kami tidak boleh mengadakan program yang besar di luar ketika ini,” katanya kepada Bernama.
Selasawati ditemui pada majlis amal Mega Blood Donation 2021 Semarak Kasih Amal di Jabatan Perubatan Transfusi HRPZII di Kota Bharu hari ini. Turut hadir Pengarah Jabatan Amal Kelantan Aliman Ismail dan dan Ketua Unit Perubatan Transfusi HRPZ II Dr Rahimah Abdul Wahab.
Terdahulu lebih 100 sukarelawan Jabatan Amal Kelantan menderma darah secara berperingkat dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
Mengulas lanjut, Selasawati berkata secara purata HRPZ II memerlukan 80 hingga 100 beg darah setiap hari bagi memenuhi keperluan 12 hospital iaitu sembilan hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan tiga hospital swasta di seluruh Kelantan.
“Masih ramai pesakit memerlukan bekalan darah seperti pesakit talasemia, pesakit yang perlu menjalani pembedahan kecemasan, pesakit trauma dan ibu-ibu mengandung yang ketumpahan darah, menyebabkan pihak hospital perlu sentiasa bersedia dengan semua bekalan jenis darah iaitu jenis O, AB, A, dan sebagainya.
"Namun, kami juga berharap dengan pelaksanaan PKP ini, ia dapat mengurangkan kes trauma ataupun kemalangan yang berlaku, sekali gus dapat menurunkan permintaan keperluan darah,” katanya.
Sementara itu, Dr Rahimah berkata masyarakat tidak perlu khuatir dan risau untuk ke hospital bagi menderma darah memandangkan HRPZ II mengambil langkah pencegahan penularan wabak Covid-19 selain ia diadakan mengikut SOP yang ketat.
“Mereka yang ingin menderma boleh mengunjungi pusat transfusi darah HRPZ II setiap Ahad hingga Khamis dari pukul 8 pagi hingga 5 petang.
"Petugas kesihatan turut mengenakan peralatan pelindungan diri, selain penderma juga diwajibkan memakai pelitup muka setiap masa dan katil penderma dijarakkan sekurang-kurangnya satu meter.
“Bagaimanapun, penderma dari zon merah dan mereka yang bergejala tidak dibenarkan untuk menderma dan mereka juga perlu mengisytiharkan sama ada mereka mempunyai kontak rapat dengan pesakit positif Covid-19 atau tidak dan juga sejarah perjalanan jika ada,” katanya.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan