Isnin, 11 Januari 2021

Air Sungai Johor terus meningkat.

KOTA TINGGI: Paras Sungai Johor, di sini naik ke paras 2.35 meter kurang 0.15 meter daripada paras amaran, tengah hari ini.

Ia sekali gus meningkatkan kebimbangan air sungai berkenaan akan melimpah semula ke pusat bandar daerah ini, ketika cuaca mulai hujan kembali, sejak tengah hari ini.

Tinjauan di kawasan bersebelahan Sungai Johor terutama Jalan Sungai Kemang mendapati air sungai yang melimpah semalam masih belum surut sepenuhnya.

Air banjir sedalam antara 0.2 hingga 0.5 meter masih menenggelamkan beberapa kawasan termasuk sebuah sekolah rendah jenis kebangsaan Cina (SJKC) berdekatan.

Beberapa petugas Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT) turut dilihat mula menutup laluan bersebelahan Sungai Johor termasuk jalan pintas di bawah Jambatan Kota Tinggi berikutan paras air sungai yang dijangka melimpah semula.

Air banjir turut dilihat masih bergenang dan memenuhi beberapa laluan di pusat bandar terutama di Arked MARA dan menara jam Kota Tinggi.

Sementara itu, penyelia pembersihan, Norasmah Abdullah, 35, berkata belum seminggu SJKC Pei Hwa, yang berada di bawah seliaannya tenggelam akibat banjir minggu lalu, kejadian sama berulang sejak semalam.

"Setiap hari saya datang ke sekolah ini bagi kerja pembersihan namun semalam ia mulai dinaiki air semula.

"Semalam paras air banjir tidak sedalam ini namun apabila saya periksa tadi, air banjir sudah ke paras lebih daripada lutut sehingga saya tidak berani meneruskan kerja.

"Antara terjejas adalah bilik darjah di bahagian bawah selain kantin dan dewan terbuka, " katanya ketika ditemui.

Tiada ulasan: