KEMAMAN: Gara-gara meredah banjir, tiga sekeluarga terperangkap hampir 30 minit di atas bumbung kereta selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka dihanyutkan arus deras di Kampung Batu 10 berhampiran susur keluar Plaza Tol Chukai di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu, mangsa yang merupakan pasangan suami isteri bersama abang dikatakan dalam perjalanan dari Kuantan ke Kampung Mak Chili di sini untuk membersihkan kediaman mereka yang terjejas bah.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, kejadian dipercayai berlaku selepas Ford Ranger dinaiki kesemua mangsa yang berusia antara 20-an hingga 40-an itu cuba meredah banjir walaupun laluan tersebut masih ditutup untuk semua kenderaan.
“Akibatnya, kenderaan pacuan empat roda itu rosak dan tenggelam manakala dua lelaki dan seorang perempuan di dalamnya sempat keluar menyelamatkan diri,” katanya.
Sementara itu, salah seorang mangsa yang enggan dikenali berkata, mereka mengambil keputusan pulang sebaik sahaja dimaklumkan banjir sudah mulai surut namun tidak menyangka laluan tersebut masih dinaiki air.
“Kami cuba meredah jalan itu, tetapi kenderaan tenggelam dan tidak dapat berundur kembali kerana enjin mati.
“Nasib baik saya sempat membuka cermin kereta dan kami keluar menyelamatkan diri melalui tingkap,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Ketua Zon 2, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Azman Alias ketika dihubungi berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira 15 minit untuk menyelamatkan mangsa dengan menaiki bot ke lokasi terkandas.
Katanya, kesemua mangsa berjaya diselamatkan dan tidak mengalami sebarang kecederaan. – UTUSAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan