Isnin, 25 Januari 2021

3 beradik didenda RM1,000 larikan jenazah bapa dari hospital

Majistret Ryan Sagirann Rayner Jr turut memerintahkan semua tertuduh dipenjara setahun 
lagi jika gagal membayar denda, tetapi semua tertuduh sudah membayar denda itu. (Gambar 
Reuters)

LAHAD DATU: Tiga beradik lelaki masing-masing didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini kerana menghalang tugas pegawai kesihatan dengan melarikan jenazah bapa mereka yang perlu disaring Covid-19 dari Hospital Lahad Datu Rabu lepas.

Majistret Ryan Sagirann Rayner Jr menjatuhkan hukuman itu terhadap Said Jipri, 27, dan kembarnya, Sabri serta adik mereka Jenrey, 26, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan secara bersama.

Ryan Sagirann turut memerintahkan semua tertuduh dipenjara setahun lagi jika gagal membayar denda. Semua tertuduh membayar denda itu.

Tiga beradik itu didakwa menghalang Mohamad Izwan Ahmad Saibi, iaitu pegawai diberi kuasa oleh Kementerian Kesihatan daripada melakukan kewajipannya di Khemah Zon Pesakit Bawah Siasatan (PUI) Jabatan Kecemasan Hospital Lahad Datu pada 8.30 malam 20 Jan lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 22(a) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (a) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Risal Abd Fikkah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap semua tertuduh sebagai pengajaran dengan mengambil kira perbuatan mereka boleh mendatangkan risiko kesihatan ketika pandemik Covid-19, di mana Lahad Datu kini masih dikategorikan zon merah.

Peguam Hafizah Mohd Akram Khan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, yang mewakili tiga beradik itu, bagaimanapun memohon mahkamah menimbang hukuman ringan atas alasan ia kesalahan pertama semua tertuduh, selain mereka mempunyai pendapatan rendah dan perlu menanggung keluarga.

“Ketika kejadian, semua tertuduh berasa tertekan, sedih dan hilang pertimbangan selepas mendapat tahu bapa mereka meninggal dunia dan semua tertuduh ketika itu percaya bapa mereka meninggal dunia disebabkan strok serta sesak nafas dan bukan kerana Covid-19.”

Tiada ulasan: