Jumaat, 15 Januari 2021

24 maahad tahfiz, madrasah terima bantuan bencana RM176,000.

TEMERLOH: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) memberi bantuan bencana sebanyak RM176,000 kepada 24 maahad tahfiz dan madrasah yang terjejas banjir di negeri ini.

Fasa pertama sebanyak RM70,000 bantuan diberikan kepada sembilan pusat pendidikan Islamdi Temerloh dan Maran, masing-masing menerima antara RM5,000 hingga RM10,000.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abddul Rahman, berkata bantuan berkenaan diberikan susulan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas baginda melawat Maahad Tahfiz Al-Amin, Kampung Berhala Gantang, di sini yang ditenggelami banjir.

Asmadi berkata, bantuan diberikan bagi meringankan beban kerugian harta benda maahad tahfiz dan madrasah selepas ditenggelami banjir minggu lalu. Terdapat dua lagi pusat pendidikan Islam berkenaan di Pekan dan Maran masih ditenggelami banjir.

Katanya, bantuan bencana yang diberikan MUIP ini adalah kali ketiga selepas kejadian banjir besar di Pahang berlaku pada 2014 dan 2017, dua kategori bantuan diberikan membabitkan kerosakan teruk dan ringan.

Sebahagian al-Quran, kitab dan buku di maahad tahfiz yang rosak akibat banjir. - NSTP/Mohd Rafi Mamat
Sebahagian al-Quran, kitab dan buku di maahad tahfiz yang 
rosak akibat banjir. - NSTP/Mohd Rafi Mamat

"Kita juga akan mempertimbangkan bantuan lain terutama membabitkan kerusi, meja dan almari. Selepas ditenggelami banjir beberapa hari banyak peralatan berkenaan rosak serta tidak boleh digunakan lagi," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat serta menyerahkan bantuan fasa pertama kepada sembilan Maahad Tahfiz dan Madrasah masing-masing dua di Maran dan tujuh di Temerloh, semalam.

Asmadi berkata, fasa kedua bantuan bencana kepada 15 maahad tahfiz dan madrasah di Lipis, Raub, Jerantut, Pekan dan Maran akan dilakukan dalam masa terdekat.

Tiada ulasan: