Ahad, 17 Januari 2021

14 dikompaun sedang melepak, mahu berkelah di pantai


NOORZAINY Mohd. Noor (tengah) ketika bertemu dan memberi nasihat kepada beberapa individu yang sedang melepak supaya mematuhi arahan PKP di sekitar Pantai Bersih, Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH: Di sebalik arahan supaya berada di rumah sekiranya tidak mempunyai urusan penting, masih ada orang ramai di sini yang keluar hanya untuk tujuan melepak dan mahu berkelah di sekitar Pantai Bersih, di sini petang ini.

Akibatnya, seramai 14 individu dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 oleh polis selepas didapati mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam operasi selama dua jam bermula pukul 4 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, mereka yang dikompaun berusia antara 20 hingga 40 tahun itu didapati sedang melepak dan mahu berkelah di kawasan berkenaan.

Katanya, sebahagian individu terbabit juga gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti tidak memakai pelitup muka dan tidak mengamalkan penjarakan fizikal.

“Tiga daripada mereka didapati melakukan kesalahan merentas daerah tanpa kebenaran, manakala yang lain cuba untuk berkelah di sekitar kawasan pantai ini.

“Semasa PKP sepatutnya semua kena duduk di rumah melainkan jika ada urusan penting, namun masih ada lagi yang berdegil,” katanya kepada pemberita ketika operasi di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Pantai Bersih petang ini.

Operasi berkenaan turut disertai wakil Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Jabatan Kesihatan Negeri dengan keanggotaan 62 orang.

Dalam operasi sama, MBSP turut mengeluarkan sebanyak 14 kompaun dan satu notis terhadap peniaga atas beberapa kesalahan antaranya berniaga tanpa lesen, tiada suntikan tifoid dan tidak memasang penapis minyak.

Dalam pada itu, Noorzainy berkata, pihaknya turut mengesan tiga laluan tikus di sekitar Tasek Gelugor dekat sini yang menghubungkan daerah berkenaan dengan daerah Kulim, Kedah.

Sehubungan itu, jelas beliau, sebanyak empat pasukan sekatan jalan raya bergerak dikerahkan memantau laluan berkenaan termasuk jalan-jalan sawah padi bagi mengelak cubaan rentas negeri melalui jalan berkenaan.

“Bagaimanapun setakat ini tiada sebarang tindakan dibuat kerana orang ramai masih patuh,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: