Nurul Hidayah Bahaudin
Serdang: Tiga remaja lelaki bawah umur antara 23 individu yang ditahan ketika leka bermain permainan judi pada mesin simulasi dalam serbuan Operasi Khas Perjudian di sebuah premis di Persiaran Serdang, Seri Kembangan, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, pihaknya membuat risikan selama empat hari di lokasi terbabit selepas menerima maklumat daripada orang awam sebelum serbuan dilakukan jam 7.50 malam.
"Dalam serbuan ini, kami menahan 23 lelaki tempatan berusia antara 16 hingga 63 tahun, termasuk tiga remaja bawah umur yang leka bermain judi.
"Selain itu, kami menahan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 27 tahun serta seorang wanita warga Indonesia berusia 50 tahun yang bekerja sebagai penjaga kaunter di premis berkenaan dengan gaji sebanyak RM1,600 sebulan.
"Kami merampas 14 mesin simulasi judi, satu mesin pertukaran token, 500 token, 207 kad tebus nilai pelbagai warna dengan setiap satu daripadanya bernilai antara RM30 hingga RM250 serta wang tunai lebih RM1,000 menjadikan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM500,000," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan, di sini, semalam.
Razali berkata, siasatan awal mendapati premis berkenaan mempunyai lesen menjalankan operasi sebagai pusat hiburan keluarga.
"Namun di sebalik itu, terdapat kegiatan perjudian dijalankan di pusat hiburan keluarga berkenaan dengan menggunakan mesin permainan sah di hadapan premis, manakala di ruang belakangnya pula menempatkan 14 mesin judi berkenaan.
"Pemain akan menukar wang di mesin pertukaran token sebelum mereka memulakan permainan (judi) sehingga meraih keuntungan. Pemain kemudian akan diberikan kad tebus nilai jika mereka mahu mengambil wang pertaruhan diraih.
"Pemain akan menerima kad tebus nilai berkenaan daripada pekerja lelaki warga Bangladesh terbabit sebelum kad berkenaan ditukar kepada wang tunai mengikut nilai kad. Transaksi itu (tukar kad tebus nilai dengan wang tunai) dilakukan secara sembunyi iaitu di dalam tandas," katanya.
Beliau berkata, premis itu dipercayai beroperasi jam 10 pagi hingga 10 malam setiap hari, sejak empat bulan lalu.
"Difahamkan sindiket itu meraih keuntungan antara RM3,000 hingga RM4,000 setiap hari tanpa mengehadkan pelanggan yang mahu berkunjung ke premis berkenaan termasuk individu bawah umur.
"Semakan di satu ruang di dalam premis berkenaan turut menemui satu stor menyimpan beberapa mesin judi simulasi yang didakwa oleh pekerja pusat hiburan keluarga berkenaan sebagai rosak," katanya.
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
"Semua pemain turut dikenakan kompaun RM1,000 selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (PKPB) mengikut Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan