Disedia bagi kemudahan ibu menyusu, ibu bersalin, pesakit terlantar
REMBAU– Pusat pemindahan banjir patuh syariah khusus bagi kebajikan umat Islam seperti ibu menyusu, ibu bersalin dan pesakit terlantar yang terjejas akibat bencana itu akan diwujudkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak lama lagi.
Menjelaskan pelaksanaan itu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, ia membabitkan penyediaan ruang solat yang khusus, pengasingan tempat tidur lelaki dan perempuan serta pengisian rohani dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan.
“Ini memang permintaan saya secara khusus dan kita telah berbincang dengan pihak kementerian dan juga Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di Jabatan Perdana Menteri supaya konsep patuh syariah ini dilaksanakan di pusat pemindahan banjir dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat korporat dan juga sukarelawan bagi pengurusan yang lebih sistematik.
“Langkah ini diambil kerana bila kita turun padang, ada mangsa banjir yang tidak selesa untuk tukar baju dan kadang-kadang bila nak tidur ada yang memerhati.
“Jadi kita sediakan dinding penghadang atau terpulang mengikut suasana pusat pemindahan serta pihak pengurusan untuk menyediakan kemudahan patuh syariah,” katanya dalam Program Kembara Prihatin Negara Peringkat JKM Negeri Sembilan di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Daerah Rembau, hari ini.
Beliau berkata, buat masa ini, JKM telah menyediakan penghadang mudah alih dan keperluan ini dijangka mencukupi untuk digunakan di kesemua 5,422 pusat pemindahan banjir yang terdapat di seluruh negara.
Selain itu, bercakap mengenai penyediaan makanan, Siti Zailah seperti dilapor Utusan berkata, prosedur operasi standard (SOP) dengan norma baharu seperti yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam usaha memutuskan penularan COVID-19 tetap diamalkan.
Katanya, penyediaan makanan buat mangsa banjir yang sebelum ini dibuat secara ‘kawah’ iaitu dimasak beramai-ramai kini disesuaikan dengan keadaan semasa apabila makanan diberikan dalam bentuk bungkusan di setiap pusat pemindahan banjir yang dibuka.
“Selain bersiap sedia daripada segi bekalan stok makanan dan pusat pengurusan banjir, JKM juga bersiap sedia daripada segi sumber manusia iaitu menggembleng 18,710 tenaga kerja termasuk pegawai JKM, kaunselor, dan sukarelawan JKM yang bersedia bertugas membantu mangsa banjir di pusat pemindahan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan